KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kelulusan usul undi percaya yang dibawa kerajaan terhadap beliau hari ini berjaya membuktikan keabsahan dukungan majoriti di Dewan Rakyat.
Beliau turut mengucapkan terima kasih dan penghargaan atas kepercayaan serta sokongan yang jelas dan tegas.
“Kini masa untuk bekerja dan menjelmakan perubahan yang didambakan rakyat,” katanya dalam hantaran Facebook, malam ini.
Terdahulu, Dewan Rakyat meluluskan usul percaya kepada Anwar sebagai Perdana Menteri melalui undian suara.
Usul yang diluluskan secara undian suara itu dibuat selepas 12 Ahli Parlimen membahaskan usul yang dibawakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof kira-kira pukul 3.07 petang.
Anwar yang juga Menteri Kewangan mengetuai Kerajaan Perpaduan yang menggabungkan Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan Sabah (Warisan).
Ahli Parlimen Tambun itu mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 November lalu. – MalaysiaGazette