Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Suprintendan Suffian Abdullah bercakap pada sidang media mengenai keadaan tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan di Father's Organic Farm, Batang Kali, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 18 DISEMBER 2022.

BATANG KALI – Operasi hari ketiga mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang masih hilang dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan di Batang Kali dihentikan malam ini dan akan bersambung esok pagi.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Suffian Abdullah berkata, keputusan menangguhkan operasi itu dibuat akibat faktor cuaca yang tidak menentukan akibat hujan lebat.

Beliau berkata, pihak telah mengadakan perbincangan dengan pihak bomba berhubung keputusan itu.

“Keadaan cuaca tidak mengizinkan di mana pihak penyelamat di barisan berdepan cabaran disebab keadaan cuaca.

“Hujan juga menyebabkan tanah di kawasan runtuhan tidak stabil dan boleh mengundang ancaman kepada pasukan penyelamat,” katanya kepada media di sini malam ini.

Suffian menambah pasukan menyelamat juga berdepan dengan bahaya kerana pergerakan tanah juga tidak stabil ia boleh mencetuskan tempat pencarian terdedah dengan ancaman.

“Operasi kita tangguh dahulu xan akan sambung semula esok di mana bergantung kepada keadaan cuaca. Kita hendak adakan operasi ini 24 jam tapi keadaan cuaca tidak mengizinkan,” katanya.

Operasi SAR ditangguhkan sebentar kira-kira jam 5 petang tadi susulan hujan lebat di kawasan berkenaan, sebelum disambung semula tidak lama kemudian.

Namun hujan kembali lebat pukul 8 malam tadi.

Sehingga kini, sembilan lagi mangsa masih lagi hilang di kawasan runtuhan tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm di sini yang berlaku awal pagi Jumaat lalu.

Operasi SAR dijangka disambung semula pukul 8 pagi esok. – MalaysiaGazette