kesenjangan banjir buruk
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyeru semua penduduk di kawasan terdedah kepada banjir untuk mematuhi arahan pihak berkuasa dan berpindah awal sebelum keadaan menjadi bertambah buruk.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata, tindakan itu selaras dengan amaran hujan berterusan peringkat bahaya oleh Jabatan Meteorolgi (MetMalaysia).

“Saya juga berharap ketua keluarga untuk sentiasa memantau pergerakan keluarga di kawasan banjir bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku kepada keluarga masing-masing,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ahmad Zahid menambah, Jawatankuasa Pengurusan Bencana di semua peringkat iaitu Pusat, negeri dan daerah telah sedia diaktifkan dan tahap kesiapsiagaan sentiasa ditambah baik bagi menghadapi bencana yang sedang dan bakal berlaku, terutamanya di kawasan yang berisiko tinggi.

Menurut beliau, pusat pemindahan sementara (PPS) juga telah dilengkapi dengan keperluan asas untuk mangsa yang terkesan.

“Saya meminta semua Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) untuk memastikan segala aset pengoperasian adalah mencukupi serta berada di dalam keadaan baik dan bersedia untuk digunakan.

“Bagi mangsa yang memerlukan bantuan kecemasan diminta terus menghubungi talian 999 untuk tindakan lanjut pihak berkuasa,” katanya yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Ahmad Zahid turut memaklumkan, MetMalaysia pada 19 Disember lalu telah mengeluarkan amaran hujan berterusan peringkat bahaya yang telah dikemas kini semalam bagi Kelantan, Terengganu dan Pahang dan peringkat buruk bagi Perlis, Kedah, Perak dan Pahang.

Beliau memberitahu, luruan monsun dijangka berterusan sehingga 25 Disember ini dan hujan berterusan dijangka berlaku di timur dan utara Semenanjung.

“Hujan lebat berterusan juga dijangka tertumpu di Pahang dan Johor bermula 21 hingga 22 Disember,” jelasnya. – MalaysiaGazette