Supritendan Suffian Abdullah

HULU SELANGOR – Polis telah mengaturkan perjumpaan dengan pihak pengurusan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Mun Choong untuk membantu siasatan berhubung tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm,di Jalan Batang Kali-Gohtong Genting pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah berkata, semalam tiga orang individu termasuk pengusaha kebun organik yang terbabit telah selesai dirakam keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor.

“Untuk makluman, semalam kita sudah merakam percakapan tiga orang dan saya percaya dalam kes ini ramai lagi yang akan dipanggil selepas ini termasuk mangsa-mangsa (tercedera dan selamat).

“Terkini, kita telahpun menghubungi pihak SJKC Mun Choong dan telah mengaturkan satu perjumpaan untuk membuat rakaman percakapan daripada mereka tidak lama lagi, sekarang sedang diambil tindakan ke arah itu,” katanya dalam sidang media perkembangan terkini pencarian mangsa yang masih hilang di lokasi pagi ini.

Beliau berkata demikian selepas ditanya sama ada pihak pengetua sekolah dan pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah berkenaan sudah dipanggil untuk membantu siasatan dalam kes tersebut.

Ditanya bila pihak pengurusan sekolah akan dirakam keterangan, Suffian menambah,  polis akan berbincang dengan mereka memandangkan ruang perlu diberi kepada kedua-dua pihak – sekolah dan juga mangsa-mangsa yang terselamat.

“Kita sedang berhubung dengan kesemua pihak berkenaan untuk mengatur masa yang sesuai dengan mereka dan kita juga perlu memberi pertimbangan keadaan mangsa-mangsa.

“Dalam dua tiga hari ini, sejak kejadian pada Jumaat lalu,  mangsa yang terselamat masih trauma dan sebagainya, dan mereka perlu diberi ruang secukup untuk pulih dan bersedia untuk bekerjasama bagi membantu siasatan,” katanya sambil menambah pihak sekolah juga kena mematuhi prosedur yang ditetapkan.

Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 290, 304(A) Kanun Keseksaan dan Seksyen 7 Akta Kerajaan Tempatan 1967.

Dalam kejadian 2.30 pagi Jumaat lalu, seramai 61 terselamat manakala 24 orang telah maut akibat tertimbus.

Setakat ini masih ada sembilan individu lagi yang dikhuatiri telah hilang sedang dicari oleh pasukan operasi mencari dan menyelamat di lapangan. – MalaysiaGazette