Mohamad Azlan Al Amin membantu penduduk kampung di Besut yang terjejas akibat banjir.

BESUT – Usahawan hartanah, Datuk Mohamad Azlan Al Amin hari ini membantu pihak berkuasa memindahkan mangsa banjir di daerah Besut ke kawasan yang selamat.

Menurutnya, beliau bersama 20 individu lain menggunakan beberapa kenderaan pacuan empat roda dan bot membantu mereka yang menunggu untuk dipindahkan dari kawasan kediaman yang dinaiki air sehingga satu meter.

“Keadaan memang agak teruk ketika ini, malah saya dan pasukan sendiri sudah terputus hubungan hampir sehari kerana sibuk mengerahkan kereta pacuan empat roda dan juga bot-bot bagi membantu mangsa terutamanya warga emas, kanak-kanak dan wanita.

“Ada (mangsa banjir) yang terpaksa naik sehingga atas bumbung untuk selamatkan diri mereka ketika kami tiba. Saya bersama anak-anak buah serta pasukan dari syarikat Hajiland menggunakan semua aset-aset syarikat bagi membantu selagi yang boleh,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) melaporkan Terengganu mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi, iaitu seramai 38,806 melibatkan 10,629 keluarga.

Menurut Azlan, beliau dan pasukannya membantu 50 keluarga di Kampung Tok Raja, Kampung Gong Tok Tor, Kampung Gong Jaga dan Kampung Nyior 7.

Tambahnya, selain memindahkan penduduk kampung, beliau merancang menyalurkan bantuan lain seperti makanan asas, ubat-ubatan dan wang yang akan dilakukan secara berperingkat.

Katanya, banjir di Besut kini semakin buruk dengan semua jalan menuju ke daerah itu ditutup kerana jalan ditenggelami air.

Sementara itu, Mohamad Azlan menyeru mereka yang mempunyai kapasiti untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir.

“Selagi kita boleh, kita ringankan bebanan ini. Jangan kita berserah kepada pihak berkuasa sahaja sebaliknya sama-samalah bantu,” ujarnya.

Menurut anak jati Besut itu, ia merupakan kewajipan dan tanggungjawab bersama. – MalaysiaGazette