Dr. Na'im Mokhtar

KUALA LUMPUR – Tiga masjid utama bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menganjurkan solat hajat dan doa selamat memohon perlindungan, keselamatan dan kesejahteraan negara dari musibah banjir.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, program itu akan diadakan selepas solat Maghrib esok di Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Selain itu, katanya, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) juga akan bekerjasama untuk turut mengadakan program itu di masjid dan surau Wilayah Persekutuan.

“Saya mengikuti perkembangan berita kejadian banjir yang melanda negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang.

“Saya amat bersimpati dan berdukacita dengan keadaan mangsa banjir dan masyarakat yang sedang berhadapan dengan situasi ini.

“Semua pihak dimohon mengambil langkah berwaspada serta sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa demi keselamatan diri dan keluarga masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menyeru semua pihak untuk terus berdoa dan bermunajat memohon perlindungan, keselamatan dan kesejahteraan negara daripada musibah banjir serta kemudahan dan kesegeraan penemuan mangsa.

Dr. Mohd Na’im berharap semua mangsa banjir dan ahli keluarga sentiasa tabah dan sabar dengan ujian itu.

“Semoga urusan seluruh anggota keselamatan, jentera barisan hadapan, sukarelawan dan semua pihak dipermudahkan Allah,” katanya.

Hakimah Mohd Yusoff

Sementara itu, Ketua Pengarah Jakim, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, sempena program itu pihaknya akan mengadakan bacaan Yaasin, solat hajat dan doa selamat secara serentak selepas solat Maghrib Khamis ini.

“Jakim turut menjemput dan mengesyorkan semua Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri melalui masjid dan surau di seluruh negara mengadakan program seumpamanya agar kesatuan usaha serta doa seluruh umat akan menambahkan lagi keberkatan doa,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.