Operasi pencarian mangsa tanah runtuh terpaksa di hentikan seketika berikutan hujan lebat yang melanda di Father's Organic Farm, Batang Kali, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 20 DISEMBER 2022.

BATANG KALI – Penemuan mangsa ke-25 dalam episod tanah runtuh tapak perkhemahan Father’s Organic Farm Gohtong Jaya lewat malam tadi memungkinkan penemuan lebih banyak mangsa.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya yakin masih terdapat mangsa lain di sekitar kawasan sektor C, di mana mayat kanak-kanak perempuan itu ditemui.

“Kami berharap akan dapat menemui lagi mangsa lain. Kemungkinan besar kita akan buat pencarian dengan lebih dalam lagi,” katanya katanya dalam sidang media, pagi ini.

Turut hadir adalah Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah.

Bomba katanya menghadapi kesukaran untuk meneruskan SAR disebabkan tanah dan selut yang amat dalam.

“Kedalaman tanah runtuh ini agak dalam. Selain itu wujud juga satu batu besar di mana mangsa ke-25 kita temui disebalik batu yang besar.

“Itu yang menyebabkan kita lewat temui mangsa,” katanya lagi.

Seorang anggota bomba kuyup selepas hujan lebat melanda tapak tanah runtuh di di Father’s Organic Farm, Batang Kali, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 20 DISEMBER 2022.

Jelas Hafisham, penemuan itu membuatkan pihaknya bersemangat semula untuk meneruskan SAR.

Mengulas lanjut, Hafisham berkata, misi SAR disambung semula pada jam 8 pagi melibatkan kekuatan 106 pegawai dan anggota iaitu berkurangan berbanding 135 anggota sebelum ini.

Ditanya mengenai jumlah anggota SAR yang dikurangkan, beliau berkata, keadaan tanah yang lembut dan berair dikhuatiri berisiko kepada pasukan keselamatan sekiranya jumlah keanggotaan yang ramai di lokasi, selain lebih memfokuskan kepada penggunaan jentera berat.

“Kita menggunakan teknik menebang pokok dan meletakkan kayu di kawasan pengorekan. Kerja pengorekan dilakukan dalam keadaan bahaya kerana air membuak keluar.

“Kita terpaksa menghentikan operasi. Jika pasukan ramai pasti membahayakan. Jadi hari ini kita akan menghadkan pergerakan masuk di lokasi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette