KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan menggesa Kerajaan Perpaduan menggunakan dana RM10 juta daripada Padi Beras Nasional Berhad (Bernas) bagi membantu golongan pesawah padi yang terjejas ketika musim tengkujuh.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, gesaan itu diutarakan beliau disebabkan pesawah padi seluruh negara mengalami kerugian akibat sawah padi yang diusahakan tenggelam sepanjang musim hujan ini.

Perkara itu juga terjadi kepada pesawah padi kawasan parlimennya.

“Saya harap kerajaan akan memberi perhatian kepada permintaan saya untuk kebaikan semua termasuk warga Tasek Gelugor,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu dibuat Wan Saiful selepas mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu.

Dalam pada itu, Wan Saiful menegaskan perjumpaan yang diadakan di Dewan Rakyat itu berkisar tentang langkah jangka panjang yang diambil untuk menyelesaikan masalah banjir di beberapa lokasi di kawasan tersebut.

“Langkah segera diambil untuk membantu pesawah dalam parlimen Tasek Gelugor yang mengalami kerugian akibat sawah tenggelam sepanjang musim hujan ini.

“Ramai yang memerlukan bantuan ganti rugi serta bantuan pembelian benih baru untuk tanam semula,” katanya dalam satu kenyataan.

Perjumpaan itu diadakan Wan Saiful disebabkan Ahmad Zahid adalah Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP). – MalaysiaGazette