Badan Peguam Negara
Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Datuk Dr Mohd Puad Zakarshi mencadangkan agar Peraturan Tetap Dewan Rakyat dipinda bagi menjadikan ahli-ahli Parlimen lebih bersopan.

Antara cadangannya tidak lagi membenarkan pencelahan semasa ahli Parlimen sedang bercakap.

Katanya, Dewan Rakyat mungkin boleh mencontohi Standing Order Perkara 45(2) Dewan Negeri Johor, yang mana pencelahan tidak dibenarkan melainkan jika menyalahi peraturan mesyuarat.

“Ini membolehkan setiap ahli Dewan dapat berhujah, mengkritik, menegur dan memberi pandangan dengan lancar tanpa gangguan,” katanya melalui hantaran di Facebook.

Dalam tulisannya, Puad yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Johor berkata, beliau malu menyaksikan sidang Parlimen yang baru berakhir semalam.

Bukan sahaja malu kepada rakyat tetapi juga dunia luar.

”Baru saya nampak buruknya gelagat ahli Parlimen terjerit jerit sampai keluar perkataan beruk dan kera.

”Saya perlu mengaku, kini saya insaf kerana pernah terlibat dengan sidang yang kecoh seperti itu. Saya ahli Parlimen dari 2008-2013.

”Tetapi apakah budaya kecoh perlu berterusan. Rakyat yang tekun mendengar ahli Parlimen berhujah turut terganggu bila yang berhujah diganggu oleh ahli Parlimen tidak berdisiplin,” ujarnya.

Tambah Puad, ada yang mencadangkan supaya Parlimen menggunakan budaya mahkamah bila berhujah, yang mana pendakwa dan peguam bela berdebat secara bersopan kerana mereka hormat arahan hakim.

”Bolehkah itu dibuat? Masalahnya ramai ahli Parlimen adalah peguam dan ada bekas hakim. Tetapi bila masuk Parlimen, mereka lagi kuat menjerit dan tidak patuh arahan Speaker,” katanya lagi. – MalaysiaGazette