Bangunan Maybank di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Malayan Banking Bhd (Maybank) mula menawarkan pilihan cuti bergaji sebulan setiap tahun kepada para pekerja bagi meneruskan inisiatif kemampanan dan kesukarelawanan jangka panjang.

Dalam satu kenyataannya hari ini, Maybank berkata, tawaran ini dalah sebahagian daripada usahanya untuk menggalakkan penglibatan pekerja yang lebih besar dalam aktiviti yang diterajui kemampanan dan menggalakkan kemampanan pemikiran dalam kalangan pekerja.

Ketua Pegawai Modal Insan Kumpulan Datuk Nora Abd Manaf berkata, bagi menggalakkan dan memperkasakan lagi kakitangan Maybank, dasar itu membolehkan mereka menjadi sukarelawan di tempat, pilihan dan masa mereka sendiri.

Beliau berkata, terdapat juga pilihan 1+1, yang mana cuti tambahan sebulan boleh digunakan dengan kelulusan dalaman.

”Maybank komited untuk mencapai satu juta jam setahun bagi kemampanan dan menyampaikan seribu hasil penting berkaitan matlamat pembangunan mampan menjelang 2025,” katanya.

Sehingga 30 September 2022, pekerjanya telah melepasi sasaran tahunan dengan hampir 1.09 juta jam mencatatkan kemampanan, dengan 56 peratus daripada jumlah jam dibelanjakan untuk aktiviti yang secara langsung menyumbang kepada komitmen kemampanan jangka panjang kumpulan perbankan itu. – MalaysiaGazette