Hishammuddin UMNO
Hishammuddin Hussein

KUALA LUMPUR – Bendahari Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan bahawa beliau tetap bersama UMNO dari dulu, kini dan selama-lamanya.

Ketua UMNO Bahagian Sembrong itu menjelaskan bahawa ‘beliau tidak akan ke mana-mana’.

“Yang cakap-cakap di luar sana hanyalah usaha untuk memburukkan dan menidakkan saya,” katanya seperti dipetik daripada rakaman video yang disiarkan dalam laman Instagram, malam ini.

Beliau menyifatkan perjalanannya dalam bidang politik sejak dari mula di UMNO Cawangan Sungai Mati, Bahagian Ledang tidak pernah mudah.

Hishammuddin juga melihat perjalanan ke hadapan tidak akan senang memandangkan BN kalah teruk pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan hanya mendapat 30 kerusi Parlimen sahaja.

“Satu keputusan yang patut menginsafkan dan menyedarkan kita semua khususnya warga UMNO dan BN.

“Sesungguhnya kita perlu lakukan penambahbaikan dan apa jua pembetulan yang diperlukan untuk parti kesayangan kita ini,” jelasnya.

Menurut beliau, banyak kerja perlu dilakukan sekiranya BN dan UMNO ingin memulihkan keyakinan rakyat serta mereka tidak boleh salah langkah lagi.

Hishammuddin berjanji akan menggunakan masanya sebaik mungkin demi kelangsungan dan masa depan parti.

“Buat ahli-ahli parti di akar umbi, nasihat saya adalah untuk bulatkan tekad, rapatkan barisan dan sama-sama lihat ke hadapan, demi masa depan dan kelangsungan perjuangan kerana akhirnya, sedar dan insaflah kita semua orang perjuangan,” katanya. – MalaysiaGazette