Pemain Malaysia, Ahmad Khuzaimi Piee. MOHD ADZLAN, 11 JUN 2022.

YANGON – Skuad Harimau Malaya menerima tamparan awal apabila tonggak pemain pertahanannya Ahmad Khuzaimi Piee dilihat menggunakan tongkat selepas aksi pembukaan Kumpulan B Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 antara Myanmar dan Malaysia di sini, malam tadi.

Ahmad Khuzaimi yang baru diumumkan menyertai Selangor FC bagi saingan musim depan, terpaksa dibawa keluar menggunakan ‘buggy’ pada penghujung separuh masa pertama aksi di Stadium Thuwunna itu dan menggunakan tongkat ketiak ketika menaiki bas pasukan selepas tamat perlawanan.

Bagaimanapun, Ketua Jurulatih negara Kim Pan Gon belum dapat mengesahkan tahap keseriusan kecederaan dialami pemain berusia 29 tahun itu dan masih menunggu laporan daripada pasukan perubatan untuk mengambil langkah susulan.

“Saya akan mengadakan mesyuarat dengan pasukan perubatan kami (malam tadi) atau pagi esok (hari ini) untuk meneliti situasi berdasarkan laporan dan kami akan putuskan. Kami mahu melindungi pemain kami jika ada kecederaan serius tetapi berharap ia hanyalah kecederaan ringan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan di sini.

Pada pertembungan malam tadi, Malaysia meraih tiga mata penting selepas berjaya mengatasi Myanmar 1-0 dengan pemain sayap Mohamad Faisal Abdul Halim meledak gol kemenangan pasukan negara pada minit ke-52.

Bagaimanapun, pasukan tuan rumah berpeluang menyamakan kedudukan untuk sekurang-kurangnya mencuri satu mata, namun sepakan penalti yang diambil penyerang gantian Myat Kaung Khant pada penghujung aksi berjaya ditepis penjaga gol Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.

Sementara itu, pemain pertahanan negara Sharul Nazeem Zulpakar berkata kehilangan Khuzaimi Piee sedikit merencatkan percaturan pasukan memandangkan beliau ialah pilihan utama di posisi tersebut.

“Saya rasa ketiadaan Khuzaimi terasa sikit kecacatan tetapi kita mempunyai pengganti, Fazly Mazlan (Muhammad Fazly Mazlan), jadi saya rasa beliau kena ambil kesempatan untuk perlawanan seterusnya,” kata tonggak benteng pertahanan Selangor FC berusia 23 tahun itu.

Sebagai rekod, Ahmad Khuzaimi merupakan pemain penting di bahagian pertahanan Malaysia dan sering mendapat tempat dalam kesebelasan utama skuad bimbingan Pan Gon sejak mula dipanggil menyertai pasukan pada Mac lepas.

Beliau berada dalam pasukan negara yang mencipta sejarah layak secara merit ke Piala Asia selepas 42 tahun pada Jun lepas sebelum mula mendapat kepercayaan dalam kesebelasan utama pada kejohanan Piala Raja Thai berlangsung September lalu, menyaksikan Malaysia muncul naib juara.

Ahmad Khuzaimi turut beraksi cemerlang membantu pasukan negara mencatat dua kemenangan tanpa bolos dalam dua aksi antarabangsa Tier 1 masing-masing menentang Kemboja dan Maldives dalam persiapan menghadapi Piala AFF 2022. – Bernama