SUNGAI BULOH – Empat buah van jenazah membawa empat mangsa akibat tragedi tanah runtuh di Batang Kali yang ditemui semalam meninggalkan Jabatan Forensik, Hospital Sungai Buloh (HSB) pada pukul 11.20 pagi.

Terdahulu, kesemua van tiba di jabatan itu pada 9.50 pagi tadi.

MalaysiaGazette difahamkan mangsa ke-27, 28, 29 dan 30 yang ditemui pada hari ketujuh operasi mencari dan menyelamat (SAR) merupakan satu keluarga.

Mereka terdiri daripada seorang kanak-kanak lelaki dan perempuan  termasuk ibu bapa mereka.

Kesemua jenazah dibawa pulang ke kediaman mangsa di Melaka untuk disemadikan.

Empat mangsa korban tanah runtuh itu ditemui pada jam 10.39 pagi semalam, dan  dibawa ke Jabatan Forensik HSB untuk bedah siasat dan proses pengecaman identiti.

Sehingga kini, SAR di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm masih dijalankan bagi mencari satu lagi mangsa iaitu seorang kanak-kanak lelaki.

Kejadian tanah runtuh di lokasi perkhemahan itu berlaku pada 2.42 pagi Jumaat lalu, melibatkan 92 mangsa.

Daripada jumlah berkenaan, 61 mangsa dilaporkan selamat manakala 30 meninggal dunia. -MalaysiaGazette