KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan mengesahkan semua produk sos pasta berkrim carbonara cendawan berjenama Prego keluaran Malaysia ditarik balik daripada pasaran kerana terdapat tanda-tanda kerosakan seperti bau yang tidak menyenangkan, warna berubah, rupa berair dan lapisan cecair yang terpisah.

Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, KKM turut menerima notifikasi dari syarikat Campbell Cheong Chan (M) Sdn. Bhd. yang mengesahkan produk tersebut turut dijual di Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, syarikat itu telah mengenalpasti punca kerosakan produk tersebut disebabkan kesilapan semasa pemprosesan dan sedang dalam proses penarikan balik produk terlibat di pasaran secara sukarela.

Produk yang terlibat dalam penarikan balik adalah Prego Sos Pasta Berkrim Carbonara Cendawan (665 gram) dengan nombor batch 2022081716 bertarikh luput 17 Ogos 2023 dan kod masa 22:18 hingga 23:20.

Dalam hal ini, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan sedang memantau proses penarikan balik produk berkenaan.

Sehubungan itu, penjual hendaklah menghentikan penjualan produk terlibat dengan serta-merta.

Manakala pengguna yang telah membeli hendaklah tidak memakan produk tersebut dan bagi yang telah mengambilnya dinasihatkan berjumpa pegawai perubatan sekiranya berasa tidak sihat atau mengalami gejala keracunan makanan.

Orang ramai disarankan mengamalkan lihat, hidu dan rasa bagi mencegah kejadian keracunan makanan. – MalaysiaGazette