Kelibat lelaki memakai telekung untuk mencuri beg jemaah wanita dirakam CCTV.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang dipercayai ada kaitan dengan kes curi di sebuah masjid di Shah Alam ditahan di Seksyen 18, Shah Alam awal pagi tadi.

Ketua Polis Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, penahanan lelaki berusia lingkungan 20-an itu dibuat selepas menerima dua laporan kes kecurian barangan milik jemaah wanita semasa menunaikan solat di masjid kawasan Seksyen 18.

Kejadian pertama dibuat oleh seorang wanita berumur 60 tahun pada 3.41 petang selepas begnya lesap yang mengandungi kunci rumah, kunci stor masjid dan sebuah telefon bimbit jenama Apple iPhone X telah hilang semasa solat Subuh di Al-Azahariah, Seksyen 18, Shah Alam.

Anggaran kerugian pengadu adalah sebanyak RM2,000.

Manakala kejadian kedua dilaporkan pada jam 10.47 malam oleh seorang wanita berumur 58 tahun yang mendapati beg tangan miliknya yang mengandungi sebuah telefon bimbit jenama Samsung model Z Flip 3 telah hilang ketika solat Isyak di Masjid Al-Hidayah, Seksyen 18, Shah Alam.

Wanita ini dianggarkan mengalami kerugian sebanyak RM1,500.

”Hasil semakan rakaman CCTV di kedua-dua tempat kejadian mendapati suspek berpakaian baju hitam/hijau dan berseluar jeans menggunakan modus operandi yang sama iaitu memakai telekung warna putih masuk ke ruangan jemaah wanita seterusnya mengambil barang berharga milik jemaah yang sedang solat,” katanya.

Kedua-dua kes tersebut telah disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Mohd Iqbal berkata, semakan ke atas rekod jenayah lampau mendapati lelaki ini mempunyai satu rekod kes penyalahgunaan dadah dan empat rekod kes jenayah.

Lelaki ini telah ditahan reman selama empat hari sehingga 26 Disember untuk siasatan lanjut. – MalaysiaGazette