Sebahagian wanita yang protes selepas golongan itu dilarang melanjutkan pendidikan ke universiti. foto Twitter

KABUL – Taliban telah menahan lima wanita yang mengambil bahagian dalam protes terhadap larangan wanita melanjutkan pendidikan ke universiti. di ibu negara Afghanistan.

Tiga wartawan turut ditahan.

Protes juga difahamkan berlaku di wilayah Takhar selepas pengawal menghalang ratusan wanita daripada memasuki universiti pada hari Rabu – sehari selepas larangan itu diumumkan.

Larangan itu merupakan dasar terbaru yang menyekat pendidikan wanita sejak Taliban kembali berkuasa tahun lalu.

Kanak-kanak perempuan telah pun dikecualikan di kebanyakan sekolah menengah.

Larangan baharu itu dilaksanakan berkuat kuasa serta-merta oleh menteri pengajian tinggi pada Selasa lalu, dengan universiti awam dan swasta diarah menghalang wanita daripada menghadiri kuliah.

Kementerian Pendidikan berkata, ulamanya telah menilai kurikulum dan persekitaran universiti, dan kehadiran untuk kanak-kanak perempuan akan digantung sehingga “persekitaran yang sesuai” disediakan.

Kemudian, Menteri Pengajian Tinggi Taliban, Neda Mohammad Nadeem menerusi televisyen berkata, wanita diharamkan dari universiti kerana tidak mengikut kod berpakaian.

“Mereka berpakaian seperti hendak pergi ke majlis perkahwinan,” katanya.

Rakaman yang dikongsi di media sosial pada Khamis menunjukkan wanita Afghanistan berpakaian hijab berarak melalui jalan-jalan di Kabul, menaikkan sepanduk, sambil menjerit slogan.

Kumpulan itu pada mulanya merancang untuk berkumpul di hadapan Universiti Kabul, institusi pendidikan terbesar dan paling berprestij di negara itu, tetapi menukar lokasi selepas pihak berkuasa mengerahkan sejumlah besar anggota keselamatan di sana.

BBC dalam laporannya yang memetik beberapa wanita berkata, ada dalam kalangan peserta itu dipukul dan ditangkap oleh Taliban.

“Mereka memukul beberapa gadis dan menangkap beberapa yang lain. Mereka juga mahu menangkap saya, namun saya berjaya melarikan diri. Tetapi saya dipukul dengan teruk,” kata seorang penunjuk perasaan.

Keputusan Kerajaan Taliban itu mendorong kira-kira 50 profesor lelaki di institusi awam dan swasta meletakkan jawatan mereka, manakala beberapa pelajar lelaki dilaporkan enggan menduduki peperiksaan mereka sebagai tanda solidariti terhadap mahasiswa wanita. – Agensi