Wan Saiful Wan Jan

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengerahkan semua pemimpin termasuk ahli Parlimen di bawah gabungan Perikatan Nasional (PN) agar turun pandang bagi menjalankan kerja sukarelawan banjir di negeri-negeri Pantai Timur.

Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, arahan itu telah dikeluarkan presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya jentera digerakkan secara bersepadu melalui Skuad Prihatin Bersatu.

Skuad itu kata Wan Saiful bagi menjadi jambatan penghubung bantuan dan meringankan beban mangsa-mangsa yang dilanda musibah banjir.

“Tan Sri Muhyiddin Yassin juga telah meminta semua ahli Parlimen, Senator dan ADUN-ADUN untuk meneruskan misi bantuan kepada yang memerlukan.

“Skuad Prihatin akan menjalinkan kerjasama dengan agensi penguatkuasaan setempat, agensi pengurusan bencana banjir, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) serta pemimpin setempat supaya skop bantuan dihulurkan tidak bertindan dan boleh dikoordinasi dengan baik dan berkesan,” katanya dalam kenyataan.

Malah Wan Saiful berkata, jentera Bersatu peringkat Negeri, Bahagian, dan sayap-sayap Srikandi, Armada, Srikandi Muda dan Bersekutu telahpun menggerakkan pasukan sukarelawan bantuan banjir untuk misi ini di semua lokasi yang terkesan.

Keadaan banjir di Pantai Timur semakin surut membolehkan mereka yang terjejas akibat bencana itu pulang ke kediaman masing-masing.

Menurut Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Pahang, hanya tinggal 23 mangsa banjir terdiri daripada enam keluarga di sebuah PPS di Sekolah Sungai Ular, Kuantan di mana 10 PPS lain telah ditutup sejak kelmarin.

Terkini di Terengganu pula, seramai 29,064 mangsa banjir daripada 7,832 keluarga ditempatkan di 202 PPS di lapan daerah di negeri itu.

Dalam perkembangan sama di Kelantan, jumlah mangsa banjir semakin menurun apabila 25,980 orang daripada 8,032 keluarga masih ditempatkan di 91 PPS pada Khamis lalu. – MalaysiaGazette