KUALA LUMPUR – Seorang mangsa nekad menarik tangan suspek yang meragut rantai lehernya sehingga menyebabkan lelaki yang menunggang motosikal hilang kawalan lalu melanggar sebuah kenderaan yang parkir di kawasan berhampiran.

Sebelum itu, suspek yang telah meragut seutas rantai leher milik mangsa cuba melarikan diri menggunakan sebuah motosikal jenis Yamaha LC 135 menyebabkan berlaku pergelutan.

Kejadian itu berlaku di tepi jalan besar berhampiran kedai elektrik Onking, Jalan Sultan Abdul Samad, pada jam 1.50 petang semalam, kata Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Deputi Supritendan Mohd Sufian Amin.

Kemudian, mangsa berjaya menahan serta merampas kembali rantai leher miliknya daripada suspek.

Mangsa kemudian menghubungi pihak polis IPD Kuala Langat dan menyerahkan tangkapan berserta rampasan kepada pihak polis.

Suspek berusia 27 tahun dan bekerja sebagai penghantar makanan, hasil semakan rekod lampau mendapati lelaki tersebut mempunyai tiga rekod jenayah lampau.

Kes disiasat dibawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja melakukan rompakan dengan membawa lari harta mangsa yang memperuntukkan hukuman pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai empat belas tahun, dan hendaklah juga dikenakan denda atau sebat. – MalaysiaGazette