Gambar hiasan

RAMAI yang merungut atau mengeluh kerana batuk yang membuatkan mereka kurang selesa menjalani kehidupan seharian.

Namun, batuk mempunyai hikmah tersendiri kerana membantu menghalang salur pernafasan seseorang daripada terkena sebarang jangkitan dan memasuki paru-paru.

Pegawai Perubatan Hospital Pakar KPJ Perlis, Dr Nor Saleha Jamil dengan memberitahu, hikmah batuk menghalang salur pernafasan daripada sebarang jangkitan dan memasuki paru-paru yang boleh menyebabkan penyakit yang serius seperti radang paru-paru (pneumonia).

“Tindak balas ini akan menghasilkan lendir atau kahak,” katanya.

Kata Saleha, terdapat beberapa faktor-faktor penyebab batuk seperti penyakit yang berkaitan dengan virus seperti selesema, influenza, jangkitan pada salur pernafasan (bronchitis, sinusitis) atau paru-paru (pneumonia, tuberculosis), alahan, asma dan merokok.

 

“Selain itu, batuk juga berpunca kerana penyakit paru-paru seperti chronic obstructive pulmonary disease (COPD), asid dari perut naik semula ke esofagus atau lebih dikenali gastroesophageal reflux disease (GERD), rembasan cecair ke dalam tekak (postnatal drip syndrome dan tekanan.

“Namun, terdapat ubat yang dipanggil ACE inhibitors (Penghalang Enzim Penukar Angiotensin) yang digunakan untuk mengawal tekanan darah tinggi menyebabkan batuk berterusan,” katanya.

Dr Nor Saleha Jamil

Dalam pada itu, Saleha memberitahu, kebanyakan batuk tidak berbahaya dan terdapat beberapa rawatan yang boleh dilakukan di rumah sahaja seperti minum lebih banyak air untuk mengeluarkan kahak yang banyak, mengunyah gula-gula batuk untuk menyejukkan tekak.

Namun kebanyakan gula-gula ubat batuk tidak memberi kesan untuk mengurangkan batuk.

“Selain itu berhenti merokok, elakkan terdedah pada asap, habuk dan pencemaran. Pakai pelitup muka sekiranya perlu.

”Malah, penyediaan ubat batuk boleh membantu menghilangkan batuk iaitu expectorants yang membantu mengeluarkan kahak dan suppressants untuk melegakan batuk dan ia sesuai untuk batuk yang kering,” katanya.

Namun, katanya sekiranya seseorang mengalami batuk yang mengeluarkan darah, batuk selepas pulang perjalanan dari luar negara, batuk berterusan lebih dua minggu, semput, sesak nafas dan sakit dada supaya berjumpa doktor bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Selain itu, dapatkan rawatan sekiranya anda mengalami demam yang berpanjangan, mengandung, bintik atau tompokan darah di bawah kulit (petechiae) atau sakit atau bengkak pada sendi,” katanya.

Etika batuk

– Pakai pelitup muka.

– Palingkan muka daripada orang lain dan makanan jika batuk.

– Elakkan pergi ke tempat yang sesak dan menjadi tumpuan orang ramai.

– Jangan berkongsi dengan orang lain sapu tangan atau tuala.

– Tutup mulut dengan tisu atau sapu tangan semasa batuk. Buang tisu ke tong sampah.

– Elakkan menyentuh mulut bagi mengelakkan jangkitan kuman.- MalaysiaGazette