MELAKA – Seorang anggota tentera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini atas tuduhan melakukan rompakan bersenjata terhadap seorang pelacur warga Vietnam, empat bulan lalu.

Tertuduh, Muhammad Mursyidien Azrai Nawi, 23, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.

Mengikut pertuduhan, pegawai pangkat rendah itu didakwa melakukan rompakan bersenjata menggunakan sebilah pisau, melarikan wang tunai berjumlah RM1,800 dan dua unit telefon bimbit berjenama milik wanita warga Vietnam.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah bilik hotel di Taman Melaka Raya 12, Melaka pukul 6.30 petang, 31 Ogos lalu.

Tertuduh yang bertugas di Kem Terendak, Melaka didakwa di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan yang mana sabit kesalahan boleh dipenjara 20 tahun dan sebat.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Najwa Nazari mencadangkan jaminan RM20,000.

Tertuduh yang diwakili Peguam Ishak Mohd Kari bagaimanapun memohon jaminan rendah dengan alasan tertuduh bekerja sebagai pegawai tentera berpangkat rendah dan perlu menanggung ibu bapa berusia lebih 65 tahun yang uzur.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dan menetapkan 14 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen. – MalaysiaGazette