Sebahagian warga asing yang ditahan APMM susulan menangkap ikan di Pulau Kendi, Pulau Pinang baru-baru ini.

GEORGE TOWN – Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan 11 warga asing dalam dua serbuan berbeza menerusi Op Tanjung berhampiran Pulau Kendi, di sini, minggu lalu.

Pengarahnya, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, tangkapan pertama membabitkan lima kru pada 22 Disember di 14 batu nautika barat Pulau Kendi kira-kira jam 4.17 petang.

Jelas beliau, pemeriksaan mendapati bot nelayan yang berpangkalan di Pulau Pangkor, Perak itu dikendalikan tiga kru warga Myanmar dan dua Thailand yang berusia antara 19 hingga 52 tahun.

Mereka yang ditahan terdiri daripada warga Indonesia, Myanmar serta Thailand.

“Hasil pemeriksaan juga mendapati kesemua mereka tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah serta permit bekerja.

“Mereka disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada permit menggajikan warga asing serta tidak memiliki dokumen perjalanan sah,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Bagi tangkapan kedua pula, Abd Razak berkata,  pihaknya menahan sebuah bot nelayan Indonesia pada kedudukan 52 batu nautika barat daya Pulau Kendi di sini, Sabtu lalu.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot nelayan yang berpangkalan di Belawan, Indonesia itu mendapati ia dikendali enam kru berusia antara 24 hingga 42 tahun.

Bot yang dikendalikan warga asing itu turut dirampas.

“Kesemua mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan permit menangkap ikan di perairan Malaysia.

“Kesemua nelayan serta bot yang ditahan dibawa ke Jeti Limbongan Batu Maung sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut,” ujar beliau. – MalaysiaGazette