Tangkap layar menunjukkan lelaki bersenjatakan parang samun kedai runcit di Sungai Sumum, Teluk Intan, Perak.

TELUK INTAN – Dalam tempoh kurang 24 jam polis berjaya menahan dua lelaki yang terlibat dalam kejadian samun bersenjatakan parang di sebuah kedai runcit di Sungai Sumun, di sini.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, dua lelaki menunggang motosikal datang ke kedai tersebut sebelum salah seorang daripadanya memasuki premis kira-kira jam 2.15 petang pada Ahad lalu.

Jelas beliau, suspek bersenjatakan parang itu cuba menyamun wang tunai namun gagal sebelum melarikan sebuah telefon bimbit jenama Huawei milik pekerja kedai tersebut.

“Susulan itu, suspek melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha RX-Z yang ditunggangi rakannya.

“Bertindak atas maklumat, kedua-dua suspek dikesan sebelum ditahan di sebuah rumah di Teluk Intan kira-kira jam 1 pagi semalam.

“Kedua-dua suspek mengaku terlibat dalam kejadian itu, selain polis merampas telefon bimbit yang dilarikan dalam kejadian itu,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, kedua-dua suspek direman lima hari sehingga Jumaat ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” ujar beliau. – MalaysiaGazette