Arjunaidi Mohamed

KUALA LUMPUR – Seramai 77 individu telah diambil keterangan bagi membantu siasatan tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Jalan Batang Kali- Goh Tong Genting, Batang Kali, Selangor pada 16 Disember lalu.

Ketua Polis Selangor, Komisioner Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, sisatan kini mencapai 85 hingga 90 peratus untuk diselesaikan dan kertas siasatan akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

“Setakat ini, polis sudah selesai merakam keterangan daripada seramai 77 individu termasuk ahli keluarga 31 mangsa yang telah meninggal dunia serta mangsa yang terselamat dalam bencana itu bagi membantu siasatan lanjut kes kami.

“Pihak lain yang turut akan diambil keterangan dalam kes ini termasuk anggota polis yang menerima maklumat pertama mengenai kejadian itu dan anggota pasukan penyelamat di tempat kejadian yang terlibat dalam operasi membantu menyelamat (SAR) dan mengeluarkan mangsa dari runtuhan tanah itu,” katanya

Beliau menyatakan demikian selepas Majlis Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pentauliahan Inspektor Kor SUKSIS Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 2022 di Bangi, dekat sini, hari ini.

Bagaimanapun, Arjunaidi berkata, pihaknya akan memanggil beberapa saksi lagi untuk memberi keterangan, seperti anggota pasukan penyelamat yang mula-mula sampai di tempat kejadian dan menemui mayat.

Daripada 92 mangsa yang terlibat dalam kejadian jam 2.30 pagi 16 Disember lalu, seramai 61 orang terselamat manakala baki 31 orang, termasuk kanak-kanak terkorban akibat tertimbus tanah

Mayat mangsa terakhir, seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun, ditemui pada jam 4.50 petang pada hari kesembilan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.

Katanya, dalam tempoh beberapa hari ini pasukan penyiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus melakukan siasatan di tempat kejadian.

Arjunaidi yang ditanya sama ada siasatan kes dilakukan di bawah Seksyen 304A kerana menyebabkan kematian tanpa niat membunuh berkata, pihaknya melihat daripada segala aspek.

Katanya, siasatan juga adalah untuk mengenalpasti kecuaian mana-mana pihak yang menyebabkan kematian dan pihaknya tidak boleh berat sebelah.

Tambahnya, polis sedang menunggu laporan penuh daripada pihak patologi Hospital Sungai Buloh (HSB) berkaitan punca kematian mangsa

Sementara itu, Arjunaidi berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan dan Seksyen 290 Kanun Keseksaan.

Seksyen 304A Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda jika disabitkan kesalahan manakala Seksyen 290 Kanun Keseksaan iaitu mudarat awam serta menyebabkan kegusaran am memperuntukkan hukuman denda sehingga RM400 atau penjara empat minggu jika sabit kesalahan, katanya.

Kes turut disiasat mengikut Seksyen 107 Akta Kerajaan Tempatan 1976, ujarnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.