telur
Peniaga di Chow Kit turut berhadapan dengan masalah kekurangan bekalan telur. Foto AFFAN FAUZI, 27 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Tindakan Malaysia untuk mengimport telur ayam dari India merupakan satu fenomena baharu yang mengkehendaki semua pihak untuk merenung, mencermin diri dan mengambil tindakan sewajarnya.

Presiden Persekutuan Persatuan Peniaga Barang Runcit Malaysia, Hong Chee Meng berkata,  daripada menjadi pengeksport telur kelima terbesar, Malaysia mungkin menjadi negara pengimport telur selepas ini.

Katanya, tindakan kerajaan menjadikan telur sebagai barang kawalan secara berpanjangan menyebabkan pengeluar gagal mencapai keseimbangan antara kos dan modal.

Keadaan itu, menurutnya, telah menyebabkan rantaian bekalan terjejas sehingga memaksa kerajaan mengimport dari luar negara.

“Import bukanlah satu cara berpanjangan, tetapi kerajaan perlu menilai dan meneliti pengeluaran dan permintaan tempatan untuk menyelesaikan isu berkaitan kestabilan bekalan dan harga telur,” katanya kepada Sinchew Daily.

Chee Meng berkata, Malaysia pada masa ini belum berdepan “kemelut telur” kerana kekurangan telur gred tertentu masih boleh digantikan gred lain, contohnya kekurangan telur gred A boleh digantikan telur gred B dan gred B digantikan gred C.

“Dengan kata lain, tidak berlaku kekurangan telur tiga gred secara serentak,” ujarnya.

Katanya, adalah penting untuk kerajaan berbincang dengan pihak berkepentingan, khususnya wakil pengeluar bagi mengenal pasti pendekatan yang boleh diambil.

Beliau berkata, pengeluar telur pernah mengangkat Malaysia sebagai pengeksport telur kelima terbesar di dunia, dan masalah kekurangan yang berlaku sekarang menandakan terdapat isu yang perlu diselesaikan.

Beliau juga percaya pengeluaran boleh ditambah jika ia mendatangkan keuntungan yang munasabah kepada pengeluar yang sedang berdepan pelbagai masalah.

Mengenai impak telur dari India pula, Chee Meng berkata, kesannya dalam pasaran tidak terlalu besar kerana telur import majoritinya disalurkan ke kedai makanan dan juga peniaga kecil.

“Disebabkan saiz yang lebih kecil berbanding telur tempatan, ia tidak sesuai untuk pembuatan pastri dan kek.

“Pengusaha sektor ini biasanya menggunakan telur gred A untuk produk mereka,” katanya. – MalaysiaGazette