Antara barangan curi kosmetik dan pakaian kanak-kanak yang dirampas polis.- Gambar ihsan Polis Subang Jaya.

SUBANG JAYA – Satu geng penjenayah yang aktif mencuri barangan kosmetik dan pakaian kanak-kanak di pasar raya akhirnya tumpas.

Seramai lima individu termasuk empat wanita yang disyaki mendalangi sindiket itu berjaya diberkas dalam beberapa serbuan berasingan yang dibuat polis di sekitar Lembah Klang baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, kesemua suspek ditahan oleh sepasukan anggota Cawangan D4 Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya yang melakukan serbuan hasil risikan dan maklumat awam.

“Dalam serbuan pertama di Jalan Resak, Klang pada 22 Disember lalu, pasukan polis berjaya menahan suspek pertama seorang wanita.

“Susulan tangkapan suspek pertama dan berpandukan maklumatnya, pasukan kami berjaya membuat beberapa lagi siri serbuan di Jalan Peel, Kuala Lumpur sebelum berjaya memberkas tiga wanita dan seorang lelaki yang turut terlibat dalam kegiatan jenayah itu,” katanya dalam kenyataan awal hari ini.

Tambah Wan Azlan, hasil tangkapan kesemua suspek terbabit dan pemeriksaan lanjut membawa kepada rampasan barang curi antaranya sebuah kenderaan Proton Exora, 76 helai baju pelbagai jenama, 28 helai seluar, 63 pakaian kanak-kanak selain pelbagai barangan kosmetik.

Katanya kesemua suspek yang ditangkap adalah warga tempatan berusia 33 hingga 45 tahun.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek disyaki terlibat dalam beberapa kes di sekitar daerah Subang Jaya, Klang, Petaling Jaya, Sepang dan Shah Alam.

“Hasil tangkapan geng curi berkenaan berjaya membantu polis menyelesaikan sekurang-kurangnya 13 kes di mana lapan daripadanya di Subang Jaya,” ujarnya.

Tegasnya, kesemua suspek berkenaan kini direman sehingga Khamis ini untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette