Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang (dua kiri) diiringi Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani (kiri) menyempurnakan gimik Pembubaran National Task Force (NTF) pada Majlis Penghargaan Perkhidmatan Operasi Benteng 2020-2022 di Kementerian Pertahanan Malaysia, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 28 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersepakat untuk mengadakan perbincangan bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi menggunakan modul penugasan National Task Force (NTF) pada masa depan.

Pendirian itu dinyatakan Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Affendi Buang selepas penguatkuasaan NTF menerusi Op Benteng dalam mengawal keselamatan dan kedaulatan sempadan negara terbukti berjaya.

Beliau berkata, langkah itu susulan pembubaran secara rasmi NTF berkuatkuasa 31 Disember ini selepas dua tahun ia diwujudkan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan dalam mengekang penularan Covid-19.

“ATM dan PDRM sendiri akan bekerjasama dengan MKN bagi memastikan modul tugas penguatkuasaan pasca Operasi Benteng (Op Benteng) digunapakai di masa depan.

“Ini selepas kita melihat keberhasilan pelaksanaan Op Benteng oleh NTF apabila nilai rampasan sepanjang penugasan Op Benteng mencatatkan jumlah RM1.1 bilion dan tangkapan seramai 7,490 individu terdiri daripada tekong, Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan penyeludup yang menceroboh sempadan darat dan perairan negara secara tidak sah.

“Kita juga akan memperbaiki apa jua mekanisme yang dirasakan perlu diubah dalam gabungan kerjasama antara PDRM dan ATM pada masa akan datang,” katanya dalam sidang media.

Beliau bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani hadir ke Majlis Penghargaan Pembubaran NTF di Auditorium Wisma Pertahanan di Kementerian Pertahanan di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Affendi menambah,  satu kertas biru (blueprint) penugasan NTF akan diwujudkan pihaknya untuk dijadikan sebagai panduan penguatkuasaan keselamatan apabila situasi yang sama dihadapi pada masa depan.

Selain itu, ia akan menjadi sejarah kejayaan dan panduan kepada generasi akan datang.

“Malah segala pengalaman yang diperoleh NTF dalam penguatkuasaan Op Benteng sepanjang dua tahun tujuh bulan dan 25 hari ini juga turut akan direkodkan dalam blueprint ini sebagai rujukan bersejarah.

“Pun begitu yang paling penting sekali fokus kami terhadap keselamatan dan kedaulatan negara perlu diteruskan demi menjamin keamanan dan kemakmuran negara kita agar sentiasa terjamin dan terpelihara,” ujarnya.

Affendi menegaskan, Op Benteng melalui kuasa Akta 342 iaitu  Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 telah digerakkan NTF bagi membanteras pencerobohan PATI ke dalam negara serta terutama sekali mengekang penyebaran Covid-19 sepertimana yang diarahkan oleh MKN pada 29 April 2020.

“NTF adalah sebagai satu gabungan yang mencapai kejayaan disebabkan kerjasama dan perkongsian maklumat perisikan efektif serta semangat juang yang utuh antara semua 18 agensi keselamatan dan penguatkuasaan yang diterajui ATM.

“Pada kesempatan ini saya merakamkan setinggi penghargaan dan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada ATM dalam menerajui pasukan NTF,” katanya.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

National Task Force bubar, Op Benteng ditamatkan – Affendi