Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf

KUANTAN – Jangan terpedaya dengan taktik sindiket menyamar penguat kuasa yang mahu menjalankan siasatan melalui panggilan telefon.

Ini kerana pihak berkuasa tidak pernah melakukan penyiasatan melalui medium itu, kata Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf.

Beliau menasihati orang ramai ekoran berlaku banyak kes penipuan Macau Scam di negeri ini.

Justeru orang ramai dinasihatkan berhati-kati ketika menerima panggilan telefon yang dicurigai berkaitan penyiasatan sesuatu kes.

“Polis menasihati orang ramai supaya jangan mendedahkan atau berkongsi apa-apa maklumat perbankan atau kewangan kepada mana-mana individu yang tidak berkenaan.

“Jangan takut atau cemas apabila dihubungi atau didakwa terlibat dengan apa-apa jenayah oleh panggilan telefon yang mendakwa sebagai pihak berkuasa,” katanya hari ini.

Ramli juga menasihati orang ramai sentiasa menyemak  dengan polis untuk mengelak daripada  diperdayakan  oleh sindiket Macau Scam.

Terbaharu, katanya, seorang pesara kerugian sebanyak RM28, 200 setelah diperdaya kononya telah terlibat dengan kes pengubahan wang haram dan rasuah berjumlah RM 1.5 juta.

“Pada bulan November  2022, mangsa menerima panggilan telefon daripada seseorang yang menyamar sebagai pegawai polis dan kemudiannya panggilan disambungkan kepada pegawai mahkamah serta pegawai Jabatan Peguam Negara.

“Mangsa kononnya telah terlibat dengan kes pengubahan wang haram dan rasuah berjumlah RM 1.5 juta.

ARTIKEL BERKAITAN :

Polis Pahang buka 1,903 kertas siasatan kes jenayah komersial

“Dalam keadaan ketakutan, mangsa telah mengikut segala arahan sehingga menukar nombor akaun bank dalam ATM dan akhirnya mendapati wang dalam akaun bank telah hilang sebanyak RM28,200,” katanya.

Untuk rekod, sebanyak 282 kes bagi macau scam (Ops Pelican) juga dilaporkan dengan rekod jumlah kerugian sebanyak RM8,769,653.04 dalam tempoh Januari hingga November tahun ini. – MalaysiaGazette