Pelajar berlagak samseng guna rotan atas jalan terhadap pemandu lain berjaya diberkas semalam.- Gambar ihsan Polis PJ.

PETALING JAYA – Tindakan seorang pelajar remaja memberhentikan kenderaannya di tengah Jalan SS 8/2 dan mengugut pemandu lain menggunakan rotan akhirnya memakan diri.

Suspek berjaya dijejaki dan diberkas semalam, kata Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid.

Suspek yang merupakan seorang lelaki warga tempatan itu ditahan oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di tepi jalan Sungai Penchala di sini.

“Sejak video itu tular, polis menerima laporan dan telah mempergiatkan usaha mengesan suspek itu untuk membantu siasatan.

“Suspek berumur 19 tahun itu berjaya diburu dan ditahan bagi membantu siasatan berkaitan tindakannya menerusi video tular di media sosial sejak Jumaat lalu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah Mohamad Fakhrudin, suspek kini direman selama tiga hari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Pada Jumaat lalu, seorang pemandu kereta dikatakan berlagak samseng dengan memberhentikan kenderaannya secara mengejut di tengah Jalan SS 8/2.

Kejadian tersebut telah dikesan melalui satu video tular berdurasi dua minit 20 saat di aplikasi Twitter.

Suspek turut mengeluarkan sebatang rotan panjang dari kenderaannya ketika kejadian dan mengugut seorang pemandu lain sebelum insiden itu tular dan menerima kecaman netizen yang mendesak polis melakukan tindakan tegas. – MalaysiaGazette