X-Beauty & Aesthetic kini secara rasmi dinamakan sebagai Sans Aesthetic Wellness.

KUALA LUMPUR – Kumpulan Sans Therapeutics Berhad (Sans) merancang untuk membuka lima lagi cawangan baharu Sans Aesthetic Wellness pada tahun depan.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Sans, Dr. Tan San Chin berkata, pembukaan cawangan baharu itu akan direalisasikan melalui sistem francais yang mana syarikat memerlukan rakan kongsi perniagaan untuk turut serta dalam perniagaan tersebut.

Beliau berkata, pengembangan syarikat dalam bidang kecantikan dan estetika ini dilaksanakan melalui pengambilalihan X Beauty & Aesthetic oleh Kumpulan Sans baru-baru ini dan seterusnya mahu menguasai pasaran dan mengukuhkan jenamanya dalam industri tersebut.

Jelas beliau, selepas pengambilalihan itu, X-Beauty & Aesthetic dinamakan semula sebagai Sans Aesthetic Wellness.

“Kumpulan turut mengambil alih enam cawangan sedia ada yang terletak di Kota Damansara, Puchong, Selangor; Sri Petaling dan Cheras di Kuala Lumpur serta Nusa Bestari dan Skudai, Johor.

“Kami juga bercadang untuk menyenaraikan kumpulan Sans di pasaran saham dalam tempoh tiga tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena pemeteraian perjanjian pengambilalian X-Beauty & Aesthetic oleh Sans di sini baru-baru ini.

San Chin menjelaskan, pelanggan sedia ada yang mendapatkan rawatan di cawangan Uptown Damansara akan dipindahkan ke outlet Kota Damansara.

Bagi menawarkan perkhidmatan dan rawatan kepada pelanggan semua bekas kakitangan X-Beauty & Aesthetica akan terus berkhidmat seperti biasa malah komited untuk meneruskan perkhidmatan seperti sebelumnya kepada pelanggan.

“Pelanggan juga diharapkan agar terus memberi kepercayaan kepada syarikat dalam urusan penyelesaian peralihan ini dan pelanggan akan mendapat manfaat daripada mendapat perkhidmatan terbaik yang disediakan.

“Mereka yang masih menjalani rawatan berterusan dengan X-Beauty & Aesthetic di galakkan untuk terus mendaftar di cawangan terbabit dengan membawa resit asal bagi mendapatkan rundingan secara personal.

“Kami akan berusaha mempromosikan konsep kecantikan dan kesejahteraan untuk memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai keperluan kedua-dua aspek itu,” jelasnya.

Sementara itu, dalam majlis yang sama, Sans Aesthetic Wellness turut melancarkan Lab Series, iaitu set baharu produk penjagaan kulit sehenti.

Siri Lab ini diperbuat daripada bahan semula jadi yang dibangunkan oleh pasukan yang mempunyai lebih 30 tahun kepakaran dalam menghasilkan produk penjagaan kulit menerusi penyelidikan dan pembangunan (R&D). – MalaysiaGazette