Dr Zaliha Mustafa

KUALA LUMPUR – Sistem janji temu melalui Aplikasi MySejahtera yang sedia ada di semua fasiliti kesihatan primer akan diperluaskan mulai hari ini.

Ia sebagai langkah mempertingkatkan kecekapan perkhidmatan dan akses klien di fasiliti kesihatan primer.

Ia juga menangani masalah masa menunggu lama kepada pesakit sebelum ini, kata Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa.

Menurutnya, perkhidmatan yang akan dimasukkan dalam sistem janji temu adalah Rawatan Pesakit Luar; Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI); Saringan Kesihatan PeKa B40 dan Pemeriksaan Kesihatan Pra-Pekerjaan / Pra-Pengajian.

Selain itu, ia juga melibatkan Saringan Pra-Perkahwinan; Khidmat Berhenti Merokok (KBM); Perkhidmatan Perancang Keluarga; Prosedur (rawatan luka, penukaran tiub dan lain-lain).

“Perkhidmatan ini telah dimulakan di 673 Klinik Kesihatan secara berfasa bermula dengan saringan NHSI, PeKa B40, KBM dan akan diperluaskan kepada perkhidmatan lain secara berperingkat.

“Sistem janji temu ini bertujuan membantu fasiliti kesihatan primer mengatur jadual perkhidmatan berdasarkan kapasiti masing-masing dan mengelakkan kesesakan di tempat pendaftaran dan menunggu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Antara kelebihan sistem janji temu atas talian ini termasuklah pelanggan dapat merancang lawatan ke fasiliti kesihatan primer mengikut kesesuaian masa.

Selain itu, kata Dr. Zaliha, pelanggan juga boleh mengubah tarikh janji temu melalui Aplikasi MySejahtera dengan mudah tanpa perlu membuat panggilan ke fasiliti kesihatan.

“Sistem ini juga mempunyai fungsi automated reminder supaya pelanggan menghadirkan diri mengikut masa dan tarikh yang telah ditempah,” katanya lagi.

Untuk kes kecemasan, katanya, kes demam atau penyakit berjangkit, orang ramai boleh terus ke fasiliti kesihatan primer tanpa perlu membuat janji temu.

Sistem janji temu Aplikasi MySejahtera bagi tahun 2023 telah mula sepenuhnya dan tempahan boleh dilakukan bermula hari ini.

“Dengan pendigitalan sistem perkhidmatan kesihatan yang disediakan KKM ini, saya harap ia dapat mempromosi program-program kesihatan di bawah fasiliti kesihatan primer kepada masyarakat dengan lebih berkesan serta menjadikan sistem perkhidmatan penjagaan kesihatan negara lebih efisien,” ujarnya. – MalaysiaGazette