Lima sahabat termasuk seorang perempuan masing-masing didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka hari ini selepas mengaku bersalah merusuh sehingga menyebabkan kecederaan  seorang remaja lelaki di Klebang, Melaka, 10 Disember lalu.

MELAKA – Padah memukul seorang remaja yang disyaki merogol kenalan mereka, lima sahabat termasuk seorang perempuan didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah merusuh sehingga menyebabkan kecederaan  di Klebang di sini, 10 Disember lalu.

Semua tertuduh, Nur Aishah Mohammad Najib 21, Muhammad Asyraf Mohd Ali, 21, Hafizul Fazrin Abdul Hakim, 22, Ahmad Thahaa Jasni, 21 dan Muhammad Safuan Mohamed Taib, 21, membuat pengakuan itu dihadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, semua tertuduh bersama-sama yang masih bebas sebagai anggota perhimpunan yang menyalahi undang-undang dalam melaksanakan tujuan bersama perhimpunan tersebut kekerasan telah digunakan oleh satu atau lebih dari mereka.

Perbuatan itu telah menyebabkan kecederaan ke atas seorang remaja lelaki berusia 17 tahun antara pukul 10 malam 10 Disember lalu di belakang Sekolah Menengah Kebangsaan Klebang Besar, dalam daerah Melaka Tengah.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, pengadu iaitu remaja lelaki berkenaan telah berjumpa dengan semua tertuduh di lokasi kejadian sebelum dipukul secara berama-ramai oleh semua tertuduh dan rakannya yang masih bebas kerana mengesyaki pengadu telah merogol kenalan tertuduh.

Terdahulu semua tertuduh diwakili peguam, Ishak Mohd Kari memohon mahkamah menjatuhkan denda ringan mengambil kira semua mereka mendapat pengajaran selama tempoh reman selama tiga hari selain bekerja dengan pendapatan rendah.

Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri bagaimanapun memohon hukuman setimpal terhadap sebagai pengajaran kepada semua tertuduh dan masyarakat.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Majistret Sharda Shienha menjatuhkan semua tertuduh masing-masing didenda RM1,000 atau dua bulan penjara sekiranya gagal bayar. – MalaysiaGazette.