Menara Kuala Lumpur disinari dengan lampu berwarna bendera negara Palestin sebagai tanda solidariti kepada rakyat Palestin berikutan ketegangan di antara Palestin dan Israel ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette, Kuala Lumpur .Foto HAFIZ SOHAIMI, 16 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat dakwaan penjualan saham mencurigakan milik pengurusan Menara Kuala Lumpur (Menara KL).

Menurut SPRM, setakat ini suruhanjaya itu telah memanggil tiga orang saksi dan mendapatkan beberapa dokumen daripada pihak-pihak berkaitan untuk diteliti.

“Sehubungan itu, SPRM akan menjalankan siasatan secara terperinci dan profesional daripada semua sudut berkaitan isu ini,” kata dalam kenyataan, hari ini.

SPRM berkata, siasatan berkenaan dilakukan bagi memastikan samada wujud elemen rasuah dalam penjualan 100 peratus saham TM di dalam Syarikat Menara KL Sdn Bhd (MKLSB) kepada Hydroshoppe Sdn Bhd (HSB) pada Oktober 2022.

Telekom Malaysia Berhad (TM) menerusi kenyataan hari ini menyatakan bahawa firma itu memutuskan untuk tidak lagi memegang konsesi menguruskan Menara KL.

Jelasnya, tindakan itu diambil bagi menumpukan kepada perniagaan terasnya, iaitu perkhidmatan telekomunikasi.

Dalam satu kenyataan, syarikat berkaitan kerajaan itu juga menafikan dakwaan bahawa rancangan berkenaan dibuat secara senyap-senyap.

Menurut TM, perubahan dalam pegangan saham Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd, yang merupakan syarikat yang menguruskan Menara KL, telah dimaklumkan kepada Bursa Malaysia melalui pengumuman kewangan TM pada suku ketiga 2022.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan keputusannya untuk menjual keseluruhan 10 juta saham dalam Menara KL Sdn Bhd. – MalaysiaGazette