Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Secara purata, kos pengeluaran ayam dalam negara adalah RM6.53 sekilogram (kg) pada bulan September lalu.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, itu harga harga sekilogram ayam di ladang dengan mengambil kira lima peratus, 10 peratus dan 20 peratus keuntungan daripada kos pengeluaran yang direkodkan berada di antara julat RM6.86 hingga RM7.84.

Manakala margin keuntungannya pada peringkat borong merekodkan RM1.30.

Katanya, di peringkat runcit pula, margin keuntungan sekilogram ayam mencatatkan RM1.25.

“Bagi telur ayam, purata kos pengeluaran sebiji telur mencatatkan RM0.48. Sekiranya mengambil kira lima peratus, 10 peratus dan 20 peratus keuntungan daripada kos pengeluaran, harganya di ladang direkodkan antara julat RM0.50 hingga RM0.58 sebiji.

“Margin keuntungan sebiji telur ayam peringkat borong dan runcit pula masing-masing mencatatkan RM0.04 dan RM0.02,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Uzir, data berkenaan hasil daripada Laporan Kajian Khas Kos Pengeluaran Ayam dan Telur 2022 yang dikeluarkan hari ini.

Berdasarkan laporan yang sama, katanya, makanan ternakan ayam merupakan komponen terbesar dalam komponen pengeluaran kerana meliputi 65.1 peratus.

Sebanyak 96.9 peratus daripada pengeluaran telur ayam merangkumi kos langsung selebihnya merupakan kos tidak langsung.

“Di mana 76.2 peratus daripadanya melibatkan kos makanan ternakan ayam dan 15.8 peratus adalah kos utiliti, gaji dan upah. Kos pembelian day-old chick meliputi 2.2 peratus daripada jumlah kos pengeluaran telur,” jelasnya.

Tambah Mohd Uzir, kos makanan ternakan ayam juga berbeza mengikut jenis.

Purata kos makanan ternakan ayam pedaging bagi jenis Starter ialah RM132.04 per 50 kilogram manakala purata kos makanan ternakan ayam pedaging bagi jenis Grower dan Finisher masing-masing mencatatkan RM129.71 per 50 kg dan RM126.96 per 50 kg.

“Makanan ternakan ayam jenis Starter lazimnya lebih mahal disebabkan oleh kandungan nutrien yang lebih tinggi dan kesesusaiannya untuk tumbesaran anak ayam,” ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, purata kos makanan ternakan ayam penelur jenis Starter RM131.57 per 50 kg.

“Purata kos makanan ternakan bagi jenis Grower dan Layer masing-masing adalah RM117.08 per 50 kg dan RM115.10 per 50 kg,” katanya.

Semasa kajian harga belian bagi seekor day-old chick (pedaging) di Malaysia secara purata merekodkan RM2.12 dan RM3.32 bagi seekor day-old chick (penelur).

Bagaimanapun, Mohd Uzir menjelaskan, harga anak ayam  kebiasaannya berubah bergantung kepada pasaran semasa.-MalaysiaGazette