Gambar hiasan

KUANTAN – Seorang jururawat menjadi mangsa Macau Scam dan lesap sebanyak RM198,000 setelah menjadi mangsa satu sindiket senjata api dan pengedaran dadah baru-baru ini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, suspek yang menyamar sebagai polis meminta mangsa membuat pinjaman peribadi dan memberi data maklumat pengenalan diri.

“Semalam Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Pahang telah menerima laporan berkenaan mangsa diperdaya oleh sindiket Macau Scam.

“Mangsa seorang perempuan Melayu berumur 36 tahun bekerja sebagai jururawat hospital kerajaan telah telah menerima panggilan telefon daripada seorang yang menyamar sebagai wakil syarikat penghantaran barang.

“Kemudiannya panggilan tersebut disambungkan kepada pegawai polis kononnya mangsa terlibat dalam sindiket senjata api dan pengedaran dadah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mangsa akur arahan suspek dengan membuat pinjaman peribadi serta mengikuti satu pautan untuk mengisi maklumat dirinya.

ARTIKEL BERKAITAN :

Guru rugi RM100,000 ditipu sindiket kerja sambilan

Jangan terpedaya panggilan palsu sindiket Macau Scam

Polis Pahang buka 1,903 kertas siasatan kes jenayah komersial

Bagaimanapun selepas pinjaman peribadi diluluskan pihak bank dari tempoh permohonan  lebih kurang dua minggu, wang tersebut telah dipindahkan ke akaun suspek tanpa disedari oleh mangsa.

Pihak Polis Kontinjen Pahang menasihati orang ramai supaya jangan mendedahkan butir-butir perbankan kepada pihak ketiga atau dalam sebarang aplikasi yang mencurigakan. – MalaysiaGazette