KUALA LUMPUR – Juara edisi 2008 dan 2018, Vietnam berkongsi mata dengan Singapura apabila terikat tanpa jaringan pada aksi Kumpulan B, Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 di Stadium Jalan Besar, Singapura, malam ini.

Keputusan tersebut menyaksikan skuad Harimau Malaya tiada pilihan lain selain perlu mencatatkan kemenangan menentang Singapura pada aksi terakhir kumpulan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa ini, untuk layak ke separuh akhir.

Keputusan itu menyaksikan Singapura kini mengumpul tujuh mata dan merampas tempat kedua dari Malaysia yang turun ke tempat ketiga dengan enam mata manakala Vietnam yang memiliki kelebihan perbezaan jaringan kekal memimpin kumpulan dengan tujuh mata.

Biarpun mendominasi lebih 70 peratus penguasaan bola pada separuh masa pertama, jentera serangan Vietnam dilihat tumpul seterusnya gagal merobek kubu pertahanan tuan rumah, dengan percubaan terbaik mereka hadir pada minit ke-17 menerusi Vu Van Thanh namun dinafikan penjaga gol veteran tuan rumah, Hassan Sunny.

Singapura yang kadang-kala cuba menyelinap masuk ke kawasan Vietnam pula berpeluang menjaringkan gol namun sepakan kaki kiri dari luar kotak penalti oleh penyerang muda, Ilhan Fandi pula melambung tinggi pada minit ke-26.

Aksi hambar yang disajikan kedua-dua pasukan pada babak kedua pula menyaksikan Vietnam nyaris memecah kebuntuan namun sepakan padu oleh pemain tengah, Nguyen Hoang Duc, hanya singgah di tiang kanan gol pada minit ke-84 dan keputusan itu kekal sehingga perlawanan tamat.

Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan B,  gol pada waktu kecederaan oleh Maung Lwin menyelamatkan Myanmar apabila berkongsi mata dengan Laos selepas terikat 2-2 di Stadium Thuwunna, Yangon.

Laos terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah apabila tonggak tengah, Sukaphon Vongchiengkham membuka tirai jaringan pada minit ke-12 namun kedudukan itu hanya bertahan dua minit selepas  tuan rumah menyamakan kedudukan menerusi pemain tengah, Kyaw Min Oo.

Walau bagaimanapun, penyerang Ekkamai Ratxachak kembali meletakkan pelawat di depan seminit selepas separuh masa kedua bersambung sebelum mereka dikecewakan dengan jaringan minit akhir oleh Lwin.

Myanmar yang akan bertandang ke Stadium Nasional My Dinh, Hanoi, menentang Vietnam pada Selasa ini, kekal di tangga keempat dengan satu mata manakala Laos menutup kempen mereka di tangga tercorot, juga dengan satu mata. – Bernama