Logo Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia

KUALA LUMPUR – Cybersecurity Malaysia (CSM) dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) diminta menjalankan siasatan berhubung dakwaan kebocoran data maklumat membabitkan 13 juta rakyat Malaysia yang tersebar di media sosial awal pagi tadi.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata, notis arahan juga telah dikemukakan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyekat laman sesawang berkenaan.

“Saya ingin mengingatkan semua Pengguna Data agar sentiasa memastikan tahap keselamatan siber berada pada paras yang baik dan sentiasa mematuhi prinsip dan standard perlindungan data peribadi selaras dengan Akta 709,” katanya menerusi kenyataan.

Awal pagi tadi, beliau berkongsikan satu hantaran milik pengguna akaun Facebook dengan nama Pendakwah Teknologi yang mendakwa hampir 13 juta maklumat pengguna daripada Maybank, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Astro telah bocor.

Berdasarkan hantaran itu, pada jam 7.56 malam 25 Disember lalu, sebuah laman web telah menyenaraikan 3.5 juta maklumat pengguna Astro, 1.8 juta pengguna Maybank dan 7.2 juta pengguna SPR.

Mengulas lanjut Fahmi berkata, siasatan mendapati nombor akaun Maybank yang dipaparkan dalam laman sesawang tersebut tidak sah atau tidak wujud kerana transaksi tidak boleh dilakukan.

Tambahnya, siasatan awal juga mendapati terdapat potensi data yang didakwa bocor adalah merujuk kepada satu insiden kebocoran yang berlaku pada tahun 2018.

“Walaubagaimanapun, pengesahan rasmi daripada pihak berkaitan adalah diperlukan untuk tujuan siasatan terperinci di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 [Akta 709].

Selain itu katanya, Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) akan menyiasat kebocoran data SPR di laman sesawang itu selaras dengan bidang kuasa Akta 709. – MalaysiaGazette