Warga asing yang ditahan dalam OP EHSAN dan OP BENTENG LAUT di perairan Sungai Besar, pagi semalam.

KUALA LUMPUR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor menahan sebuah bot nelayan tempatan Kelas B1 di perairan Sungai Besar pagi semalam kerana melakukan kesalahan menggajikan kru warga asing.

Pengarah Maritim Selangor, Kapten Maritim V. Siva Kumar berkata, bot berkenaan ditahan ketika sedang menangkap ikan di
kedudukan 3.2 batu nautika Barat Daya, Sungai Besar.

Katanya, bot nelayan terbabit ditahan oleh bot peronda Maritim Malaysia dalam yang ketika itu sedang menjalankan Op Ehsan dan Op Benteng Laut.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati, bot itu dikendalikan oleh dua warga tempatan dan dua warga asing berusia lingkungan 32 hingga 57 tahun.

“Pemeriksaan lanjut ke atas dokumen mendapati, kesemua kru warga asing gagal mengemukakan pengenalan diri yang sah ketika diminta penguat kuasa,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ujarnya, bot bersama kru itu dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan warga asing tanpa kebenaran bertulis dari Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/63 kerana melanggar syarat pas.

Tegasnya, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap pelanggaran undang-undang di Zon Maritim Malaysia dan akan terus membuat rondaan serta pemantauan di perairan negara.

Sehubungan itu beliau menggesa semua pihak agar melaporkan sebarang salah laku jenayah dan kecemasan di laut denganĀ  menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau MERS 999 untuk maklum balas segera. – MalaysiaGazette