Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR – Pejabat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu tampil memberi penjelasan berhubung kekeliruan orang ramai mengenai pembayaran Bantuan Khas PadiBeras Nasional Berhad (BERNAS) 2022 kepada pesawah.

Menurutnya, kiraan yang dibuat oleh netizen adalah salah apabila mendakwa jumlah yang sepatutnya dibayar kepada setiap pesawah di Kelantan, Terengganu dan Pahang adalah sebanyak RM477 dan bukan RM250 seperti yang diumumkan menteri.

Katanya, jumlah keseluruhan pesawah di negara ini adalah seramai 240, 000 orang manakala jumlah 20,958 pesawah yang diumumkan hari ini hanya melibatkan Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Manakala jumlah bantuan keseluruhan yang akan diterima dari BERNAS sebanyak RM60 juta bukan RM10 juta sahaja seperti yang diumumkan hari ini.

“Jadi RM60 juta bahagi 240, 000 pesawah sama dengan RM250 seorang. Harap penjelasan ini dapat memberikan pencerahan kepada semua,” kata kenyataan yang sama.

Sebelum itu kecoh di media apabila sosial netizen mempersoalkan jumlah bayaran RM250 yang diberikan kepada setiap pesawah berjumlah 20,958 di Pahang, Kelantan dan Terengganu sedangkan Bantuan Khas BERNAS adalah sebanyak RM10 juta.

Netizen berkata, berdasarkan jumlah pesawah tersebut nilai bantuan yang perlu diberikan adalah sebanyak RM477 kepada setiap pesawah.

“Pejabat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan ada menerima pertanyaan dari netizen kenapa bayaran yang diterima oleh pesawah di Kelantan, Terengganu dan Pahang yang melibatkan 20,958 orang pesawah hanya RM250 sahaja.

“Kerana jika RM10 juta bahagi 20,958 pesawah (jumlah pesawah di Kelantan, Terengganu dan Pahang) sama dengan RM477.

“Untuk makluman semua, kiraan yang dikongsikan oleh netizen seperti di atas adalah tidak tepat,” katanya.

Terdahulu Mohamad mengumumkan Bantuan Khas Bernas bagi 2022 sebanyak RM10 juta akan disalurkan secara berperingat dan buat permulaan diberikan kepada pesawah di Pahang, Kelantan dan Terengganu.

Manakala pesawah di negeri-negeri lain akan menerima peruntukan berjumlah sama iaitu RM250 apabila baki bantuan khas Bernas berjumlah RM50 juta diterima.

Pada awal Disember lalu, Bernas bersetuju dengan permintaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya disediakan peruntukan sebanyak RM60 juta bagi membantu pesawah di seluruh negara.

Anwar sebelum ini Anwar ‘menegur” pemilik BERNAS, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary berhubung monopoli import beras dan syarikat itu akan membuat pembayaran kepada pesawah.

Ahli Parlimen Tambun itu turut dilaporkan berkata, Syed Mokhtar bersetuju memperuntukkan RM10 juta untuk tahun ini dan RM50 juta pada tahun hadapan kepada golongan pesawah miskin. – MalaysiaGazette