Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr. Nor Azimi Yunus melawat bayi kelahiran 1 januari 2023 di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, Pahang.

KUANTAN – Seramai enam bayi dilahirkan di dua hospital kerajaan di Pahang pada tahun baharu, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr Nor Azimi Yunus.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, empat kelahiran dicatatkan di Hospital Tengku Ampuan Afzan di Kuantan dan baki dua bayi dilahirkan di Hospital Haji Ahmad Shah, Temerloh.

“Kelahiran pertama dicatat pada pukul 12.53 pagi di HTAA  iaitu seorang bayi lelaki dari pasangan dari Felda Lepar Hilir 1 dilahirkan dengan berat 3.9 kilogram (kg) melalui kaedah pembedahan.

“Usia ibu yang bersalin antara 25 hingga 35 tahun dan berat bayi yang dilahirkan antara 3 kg hingga 3.9 kg,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Dr. Nor Azimi, daripada enam kelahiran tersebut lima adalah bayi lelaki dan seorang bayi perempuan. – MalaysiaGazette