Shahbudin Husin

KUALA LUMPUR – Siapakah mantan Perdana Menteri dan bekas Menteri Kewangan yang dimaksudkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan perutusan Munajat Ambang Tahun Baharu 2023 malam tadi?

Tanda tanya itu timbul berikutan dua orang yang pernah memegang jawatan itu dikaitkan dengan dana negara yang dikatakan dipunggah untuk kekayaan diri sendiri.

Hal itu turut mendapat perhatian penulis yang juga penganalisis politik Shahbudin Husin yang meletakkan persoalan adakah individu yang dimaksudkan itu Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Daim Zauniddin, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin?

Beliau menimbulkan tanda tanya itu kerana Dr. Mahathir, Najib dan Muhyiddin pernah memegang jawatan Perdana Menteri manakala Daim pernah menjawat jawatan Menteri Kewangan.

“Adakah ia Tun Mahathir Mohamad yang pernah memegang jawatan Menteri Kewangan ketika menjadi Perdana Menteri? Adakah ia Daim Zainuddin, bekas Menteri Kewangan ketika era Tun Mahathir?

“Apakah ia Najib Razak yang ketika menjadi Perdana Menteri, turut memegang jawatan Menteri Kewangan?

“Ataukah ia Mahiaddin Md. Yassin yang ketika menjadi Perdana Menteri telah menguatkuasakan darurat, lalu banyak perbelanjaan kerajaan dilihat meragukan?,” soal beliau menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Semalam, Anwar yang memimpin Kerajaan Perpaduan berazam untuk mengembalikan dana negara yang ‘dipunggah’ oleh pemimpin terdahulu dipulangkan semula kepada rakyat.

Perdana Menteri ke-10 itu berkata, kerajaan pimpinannya akan bertegas untuk menamatkan amalan yang menggunakan kepimpinan politik dan kedudukan dalam kerajaan sebagai “kesempatan untuk memunggah kekayaan”.

“Saya nak nasihat bahawa kerajaan ini akan memastikan sekurang-kurangnya sebahagian daripada dana yang dipunggah itu dipulangkan segera kepada rakyat.

“Ia bukan jumlah yang kecil, jika ada kesan peribadi kepada saya, saya akan maafkan. Tapi kalau berterusan, tentulah saya akan ambil tindakan,” katanya dalam Perutusan Munajat Ambang Tahun Baharu 2023 di Masjid Putra di Putrajaya malam tadi.

Mengulas lanjut Shahbudin menulis, siapa pun mereka, yang penting sebagaimana disebut Anwar itu, badan penguatkuasaan harus memikirkan bagaimana helah dan cara supaya rakyat tidak terpukau dengan janji dan slogan kononnya bersih, padahal diselaput dengan ratusan juta kekayaan yang telah dipunggah.

Tegas beliau, sekurang-kurangnya sebahagian daripada dana itu dipulangkan semula kepada rakyat dan ini adalah azam tahun baru yang pelakunya serta pengembaliannya dapat disaksi sendiri oleh rakyat.

Beliau turut menyifatkan sambutan ambang tahun baru di era Anwar kali pertama sebagai Perdana Menteri malam tadi yang dimeriahkan dengan munajat serta doa di Masjid Putra, Putrajaya sebagai di luar kelaziman.

Katanya, tiada sambutan dengan hiburan, nyanyian, pergaulan bebas serta tembakan bunga api ke udara sebagaimana kelaziman.

Kali pertama juga, kata beliau, perutusan khas disampaikan dalam masjid dengan dipancarkan ke seluruh negara melalui penyampaian tanpa teks yang memberi gambaran tulennya keikhlasan yang terpancar daripada lubuk hati penyampainya.

“Perutusan yang disampaikan pula penuh dengan pesanan serta nasihat, memperlihatkan iltizam kebersamaan untuk membela rakyat, memperjuangkan keadilan, menangani rasuah dan membina semula negara.

“Apabila menyebut mengenai rasuah dan membina semula negara, ia tentunya tidak terlepas daripada memperkatakan kecurangan silam yang walaupun sesetengah pihak merasakan tidak perlu lagi diungkit cerita-cerita lama.

“Sebagai pengajaran dan supaya tidak hilang pedoman, kisah-kisah lama sebenarnya perlu diceritakan semula agar sempadan tidak lagi mudah dilanggari,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. mana-mana dana tidak kira bekas PM ke TPM ke Menteri-menteri ke sepatutnya dipungah balik, sebab itu semua duit rakyat.

Comments are closed.