KUALA LUMPUR – Sebuah lagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pro politik ditubuhkan selepas kewujudan Muafakat Nasional (MN) bulan lalu.
NGO baharu itu yang dinamakan Pertubuhan Perpaduan Ummah (PPU) dilancarkan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim malam tadi.
Beliau mendakwa, PPU telah diterima Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) pada 29 Disember lalu.
“NGO ini berperanan menyatukan masyarakat di Malaysia tanpa mengira parti, selain memfokuskan kepada kerja kebajikan.
“PPU juga akan diperluaskan di semua 222 Parlimen dalam memastikan usaha membentuk kerjasama seluruh rakyat pasca PRU15.
“Dalam NGO ini saya sebagai pemudah cara sahaja. Selepas ini, ia akan dipimpin oleh mereka yang lebih hebat dan berjenama,” katanya yang merupakan Setiausaha Agung penaja PPU.
Shahidan turut menafikan PPU ditubuh untuk bersaing dengan MN yang diasaskan bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.
Beliau juga menolak dakwaan ada masalah dengan Annuar, sebaliknya mengalu-alukan sesiapa sahaja menyertai dua pertubuhan berkenaan. – MalaysiaGazette
















