Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Pemaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru rakyat mengenepikan fahaman dan perbezaan politik sempena tahun baharu 2023.

Baginda dan Tengku Permaisuri Tengku Norashikin bertitah demikian supaya pentadbiran baharu selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dapat melaksanakan usahanya mengatasi permasalahan dan cabaran yang sedang dihadapi ketika ini.

“Beta dan Tengku Permaisuri tidak mahu lagi ada golongan khususnya ahli politik bertelagah sesama sendiri dan mementingkan kepentingan peribadi semata-mata sehingga mengabaikan tanggungjawab berkhidmat kepada rakyat.

Less talk, more action,” titah baginda menerusi hantaran Facebook Selangor Royal Office sempena Perutusan Tahun Baharu 2023, hari ini.

Menurut baginda, tahun baharu ini juga rakyat seharusnya mengutamakan keamanan dan keharmonian serta mengelak daripada menyentuh isu sensitif yang boleh memudaratkan ikatan perpaduan sesama kaum.

“Semua pihak perlu berganding bahu dan bekerjasama untuk membina kembali negara yang semakin pulih selepas fasa pandemik dan membawa semula negara ke peringkat lebih baik dalam semua aspek termasuk sosial, politik dan ekonomi,” titahnya.

Dalam pada itu, baginda berdua mendoakan agar tahun 2023 akan membawa sinar baharu yang lebih gemilang dan cemerlang untuk sekalian rakyat.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin menyeru agar rakyat menyematkan azam tahun baharu untuk berjimat cermat dalam menguruskan ekonomi dan serta gaya hidup harian masing-masing khususnya dalam persekitaran prospek ekonomi dunia yang agak membimbangkan. – MalaysiaGazette