KUALA LUMPUR – Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama dilapor bergerak perlahan sejak tengah hari tadi berikutan berakhir cuti Tahun Baharu 2023 dan cuti sekolah hari ini.
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menerusi kemaskini di Facebook memaklumkan, trafik perlahan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) akibat pertambahan kenderaan di laluan berkenaan.
Menurut LLM, trafik turut bergerak perlahan dari barat ke Kuala Lumpur di Hentian Rehat Gombak ke Plaza Tol Gombak.
Trafik juga dilaporkan perlahan dari Perai ke Juru, Ipoh Selatan ke Simpang Pulai, Gopeng Ke Tapah, Bukit Beruntung ke Sungai Buaya dan Sungai Bakap ke Bandar Cassia susulan terdapat kemalangan kecil yang berlaku di situ.
Katanya, akibat kemalangan itu juga ia telahpun menyebabkan lorong kecemasan terhalang.
Sementara itu, laluan Smartlane diaktifkan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) di Kilometer (km) 259.3 sehingga KM 261.3 arah Utara dari Senawang ke Seremban untuk kelancaram trafik. – MalaysiaGazette