Kerja-kerja menyelamat sedang giat dijalankan. foto https://tuoitrenews.vn

HANOI – Pasukan penyelamat Vietnam sedang giat membebaskan seorang budak lelaki berusia 10 tahun yang terperangkap di dalam sebuah lubang di sebuah tapak pembinaan di Dong Thap.

Media tempatan melaporkan, mangsa, Ly Hao Nam sedang mencari besi buruk apabila dia terjatuh ke dalam longgokan konkrit di wilayah selatan Dong Thap pada malam Tahun Baharu.

Pasukan telah mengepam oksigen ke dalam tiang sokongan sedalam 35 meter untuk membantunya bernafas.

Suara kanak-kanak itu didengari menangis meminta tolong dua hari lalu tetapi tidak memberi sebarang respons apabila kamera diturunkan ke dalam lubang pada hari ini.

Ibu bapa budak lelaki itu setia menanti dengan cemas ketika pasukan penyelamat cuba menyelamatkan anak mereka.

Beberapa usaha telah dilakukan termasuk cuba mengangkat cerucuk dengan kren dan jengkaut, tetapi setakat ini tidak berjaya. – Agensi