Anwar Ibrahim berucap pada majlis pertemuan dengan Kumpulan 70 Profesor Melayu, Akademi Sains Islam Malaysia dan Institut Darul Ehsan di Seri Perdana, malam tadi.

MEMPOSISIKAN cendekiawan pada tempatnya yang benar adalah sepotong daripada adab. Gerbang memulai adab menurut penulis harus dimasuki melalui pintu beramanah dengan ilmu. Kita hendaklah merujuk kaum ilmuwan yang berwibawa dengan ilmu mereka yang diiktiraf khalayak sarjana. Penulis merujuk Prof. al-Attas pada mendapatkan gambaran peri adab dalam susunan tataletak sesuatu perkara. Definisi adab pada renungan fikir beliau menayangkan makna pengiktirafan realiti bahawa ilmu dan makhluk disusun secara hierarki berdasarkan tahap dan kedudukan masing-masing. Prof. Wan Mohd Noor yang lama dalam lipatan tahun bersama berdampingan dalam rihlah intelektual bersama beliau menghuraikan lagi mengenai konsep adab ini ;

”Ia juga tempat paling sempurna bagi seseorang dalam perhubungan dengan realiti sama ada secara fizikal, intelektual, kapasiti kerohanian dan potensi seseorang”.

Justeru, kita fahami bahawa beradab adalah tindakan melayani sesuatu perkara pada kedudukanya yang haq secara mengiktiraf hakikat yang terkandung pada kapasitinya.

Kita tumpukan perhatian di luar fakulti abstrak. Di ranah realiti, kedudukan kaum sarjana dalam urusan pemerintahan menterjemahkan kemakmuran kepada rakyat dan negara. Sultan Muhammad al-Fateh memerlukan Syeikh Aq Syamsuddin atau Mullah Kurani sebagai pembimbing rohani yang dirujuk sepanjang pemerintahan. Francis Bacon pernah diberikan gelaran kehormatan “Baron Verulam” oleh Raja James I pada 1618M kerana sumbangannya yang besar dalam kegiatan falsafah. Ia sering dirujuk oleh Istana dalam menghadapi suatu soal. Mengambil semangat yang sama di sekitar sejarah Nusantara, zaman Sayyid Mukammil (1589-1604) sebagai Sultan Aceh, Syamsuddin Sumatrani menjadi orang kepercayaan Istana selama beberapa dekad. Manakala, Nuruddin ar-Raniri diangkat menjadi mufti pada zaman Sultan Iskandar Thani dan mendapat penghormatan yang sama diraih al-Sumatrani sebelumnya untuk menasihati Sultan pelbagai urusan pemerintahan.

Simbiosis hubungan ulama dan umara, cendekiawan dan penguasa memberi natijah, kemasyhuran dan kebesaran empayar pemerintahan silam kerajaan-kerajaan yang dirujuk. Sesuatu dapat melangsungkan peranannya dengan berkesan jika susunannya direka secara tertib dan beradab.

Sehingga takat ini, tanah air kita belum lagi pernah mencapai suatu kedudukan memulai hierarki adab pada peringkat ini antara dua teraju utama kemanusiaan, sarjana dan penguasa.

Kita mengharapkan ianya dapat direalisasikan di era kerajaan perpaduan ini. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah menjadi resam hidup beliau melazimi tradisi pembudayaan ilmu semenjak separuh abad lalu ketika era pelajar, mahasiswa, belia dan menyertai kabinet pertama kalinya telah berbuat demikian. Pintu pagar kediaman beliau dihiasi suasana perbincangan tema-tema berat falsafah, sains, pemikiran. Semua ini tidak hanya terhenti atau suaranya melekat pada dinding-dinding bangunan, tetapi kepada yang miliki kuasa dengan tangan ia terjemahkan ke lapangan.

Baru-baru ini di Seri Perdana para ilmuwan gadang, penggagas sains islam, pemimpin kebudayaan, perumus sains peribumi, pemikir tempatan berhimpun di kediaman Perdana Menteri. Pertemuan mereka bukan tentang lobi dan projek kenaikan pangkat atau bersyarah mendengungkan perbincangan ilmu yang telah kering. Mereka berhimpun membawakan masalah ‘ilmu’.

Tentang kerosakan ilmu (the corruption of knowledge) yang menyebabkan kita masih mewarisi kepincangan pembangunan. Kesedaran bahawa ilmu adalah sarat dengan kebudayaan, wacana ilmu yang pegun tidak boleh dicabar dan harus kekal diakur tanpa pertimbangan kritis. Kedudukan para ilmuwan sepanjang berdekad-dekad di bawah pemerintahan yang tidak memberi perhatian terhadap rekayasa acuan baharu pengetahuan.

Bidang yang dibidik oleh sarjana yang berhimpun dalam majlis berkenaan adalah mengenai ‘kritikan terhadap ilmu’. Dimaksudkan bahawa kritikan yang bukan daripada acuan bidangnya yang telah menjadi norma itu tetapi daripada acuan pandangan watan sendiri yang muncul daripada bahasa yang mengandungi muatan nilai peribumi sebagai alat fikiran.

Penanda aras ini diharapkan sebagai bibit permulaan subur budaya ilmu di tanah air. Ilmuwan kerjanya memperkaya peradaban, lahannya di universiti berkebun cuma, memajak, menggembur tanah, membangun pohon tamaddun. Daun dan buahnya ranum jangan dibiar gugur di kebun tanpa dikunyah.

Kerja hakiki universiti telah semakin tergelincir daripada melahirkan insan budiman kepada memenuhi selera pasaran. Kaum sarjana yang terintang oleh pintu pagar universiti memenuhi tugas rutin untuk mengejar KPI, menumpukkan skor merit universiti guna meraih ranking. Lebih malang segala malang adalah mereka seperti diberitakan juga dialami penulis sendiri, membanting tulang menghasilkan kertas penyelidikan, jurnal yang kadang-kadang ditunggang secara gratis daripada pelajar sarjana, doktor falsafah mereka yang bertugas sebagai Pembantu Penyelidik (RA). Apa motivasi mereka berbuat begitu? Pangkat. Untuk naik pangkat, beberapa syarat yang muluk-muluk, murni ditetapkan. Namun, dikotori oleh jalan ketidakjujuran, asal terbit di jari tidak termasuk di aqli itu banyak yang rebutkan. Mereka sedikitnya jika tidak seluruhnya disirna oleh kemilau komersialisasi yang menjalar masuk ke tulang rusuk universiti. Ini tidaklah dihairankan dalam perlumbaan ekonomi modal, universiti juga diukur dengan kebendaanisme.

Apapun yang berlaku, di era baharu ini kami mengharapkan ada suatu usaha sistematik memposisikan kaum llmuwan ini pada tempatnya beradab. Mereka yang dipilih haruslah daripada kalangan yang mendedikasi hayat mereka selama ini kepada usaha intelektualisme, usaha mengangkat moral manusia, memelihara amanah ilmu daripada kerosakan orang yang bersemangat agama lebih daripada yang patut difahami dan terlebih awal ditangani.

Kami mengesyorkan diperkukuh suatu sidang ilmuwan, bukan yang diperbuat seperti yang telah wujud sebagai contoh Majlis Profesor Negara (MPN) yang banyak dilihat bergantung kepada restu pemerintah, ia mesti wujud tanpa suntikan modal, ia bebas memberi masukan kepada ketua kerajaan untuk difikir – dilaksanakan. Kami teringat kemunculan ‘Felo Diraja’ yang menghimpunkan sarjana ternama di England, atau boleh digelintar daripada kitab tawarikh sendiri untuk menemukan yang serupa atau sehampir dengannya dalam sejarah kebudayaan kita. Perkataan ‘diraja’ tidak sesuai kerana ia bukan disyorkan daripada kebun Istana Sultan. Mungkin boleh dipertimbang penjenamaan ulang ‘felo perdana’, nama yang nampaknya telah dipakai lebih awal oleh program-program perantisan yang gemarkan lampu limpah dan neon kepopularan. Kami ingin majukan nama yang sederhana “Sidang Budiman”. Oleh perkataan budiman itu yang terakam dalam Kitab Turjuman al-Mustafid dimaknai bukan sekadar ‘orang berperangai baik’ tetapi orang yang berilmu tinggi. Budiman adalah kaum ilmuwan. Kita serahkan kepada pemegang taruh kerajaan untuk memikirkan.

Keanggotaan sidang berkenaan hendaklah dipilih, ditapis daripada kalangan yang memang masyhur kebitaraannya. Mereka yang menempati kedudukan pertama antara setara (Primus inter pares/First among equals) dalam disiplin masing-masing. Sarjana yang menorehkan penanda aras tinggi dengan pencapaian kesarjanaan mengagumkan. Antaranya yang tidak boleh dikecualikan (menurut pandangan penulis yang kecil ini), Tan Sri Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas (Falsafah, pemikiran dan peradaban), Prof Emeritus Datuk Dr Osman Bakar (Pemikiran dan peradaban), Prof Emeritus Sasterawan Negara Dr Muhammad Hj Salleh (Kesusteraan), Prof Emeritus Dr Shaharir Muhammad Zain (Sains Matematik), Prof Emeritus Dato’ Dr Ahmat Adam (Sejarah) dan selainnya. Mereka ini telah teruji dan terbukti berada jauh daripada koridor kuasa, tidak menggunakan hasil keilmuwan untuk mendaki perbukitan pengaruh nama atau mempertahankan kedudukan dunia.

Jika tidak berhasil diwujudkan ini sebagai ‘Council of Eldest’ atau apa sahaja citra namanya, adalah disyorkan kerajaan menyambut mereka ini dengan penuh kemuliaan, menghidangkan Syarahan Kebangsaan yang wajar disiarkan di seluruh negara. Tidak seluruh rakyat akan faham, tetapi yang celik dan terdidik (literates educated) akan kelak menghargai. Peranan cendekiawan sebagai mencerah akan membawa rakyat kepada suatu natijah yang sejahtera, inillah yang kami ditanamkan percaya bahawa laksana bintang timur, cendekiawan memandu pelayaran dengan lampu di dada langit.

Bukankah ini sebahagian daripada adab sebagai seorang yang telah mendapat kuasa untuk mengiktiraf sesuatu pada tempatnya. Program yang telah bermula di Seri Perdana baru ini sebagai permulaan memugar pohon ilmu. Dahannya telah menjalar keluar daripada kebun universiti, telah pula tiba di halaman Istana Perdana. Dijamah di sana oleh sidang pemimpin tertinggi negara, moga jadi zat yg membekali tenaga kepada mereka memandu negara menuju matlamat subahagia.

Muhamad Hanapi Jamaludin
Pengarah Pengasas Benevolent Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast