Khairil Anuar Mohamad Anuar

KUALA LUMPUR – Co-opbank Pertama (CBP) menawarkan langganan syer di institusi perbankan tersebut bermula 1 Januari 2023.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khairil Anuar Mohammad Anuar berkata, pembukaan semula syer ini adalah di semua cawangan CBP dan ianya dilihat dapat membantu meningkatkan bilangan anggota serta modal syer anggota CBP bagi mencapai sasaran yang telah ditetapkan.

”Pembukaan semula syer ini terbuka kepada anggota baharu dan sedia ada dengan jumlah baki maksimum sehingga RM5 juta bagi individu dan bagi gerakan
koperasi pula adalah sehingga 20% dari baki semasa modal syer CBP.

”Pembukaan semula syer ini juga dapat menggalakkan orang ramai supaya membuka dan meletakkan wang ke dalam akaun deposit CBP yang seterusnya akan meningkatkan baki deposit CBP,” katanya.

Tambahnya lagi, CBP telah menunjukkan prestasi yang cemerlang kebelakangan ini dan menawarkan kadar dividen yang kompetitif setanding dengan institusi perbankan yang lain.

Untuk rekod, CBP mencatatkan keuntungan sebanyak RM86 juta bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2021 dengan agihan dividen sebanyak
6.1%.

”Melalui pembukaan semula syer ini, kita mengharapkan agar orang ramai dapat menjadi anggota CBP dan insya Allah, kita akan memberikan pulangan dividen yang baik kepada mereka,” katanya. – MalaysiaGazette