Keadaan salah sebuah helikopter yang remuk teruk. Foto https://www.theaustralian.com.au/

SYDNEY – Empat orang maut selepas dua helikopter berlanggar di udara berhampiran Seaworld di Gold Coast Australia.

Sembilan penumpang lain di dalam kedua-dua pesawat itu semuanya dirawat kerana cedera, kata perkhidmatan ambulans Queensland.

Empat kematian dan tiga kecederaan serius, semuanya berlaku dalam pesawat yang sama.

Tiga penumpang – seorang wanita dan dua kanak-kanak lelaki telah dibawa ke hospital dalam keadaan kritikal.

Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) berkata, pihaknya akan menyiasat insiden berkenaan.

Perlanggaran berlaku sekitar 2 petang waktu tempatan (04:00 GMT) di sepanjang jalur pelancongan yang dikenali sebagai Pantai Utama, kira-kira 75km di selatan Brisbane.

Gary Worrell dari polis Queensland memberitahu media, sebuah helikopter kelihatan sedang berlepas ketika yang satu lagi hendak mendarat.

“Ia satu babak yang sukar kerana kawasan ini terletak di tebing pasir, sukar untuk mendapatkan akses, untuk mendapatkan perkhidmatan kecemasan kami ke tempat kejadian untuk menguruskannya dengan sewajarnya,” katanya.

Imej dari tapak nahas menunjukkan serpihan bertaburan di sekitar kawasan itu dan sebuah helikopter yang remuk terbalik bertentangan dengan resort Seaworld.

Helikopter lagi satu pula mempunyai logo taman marin Seaworkd terpampang di sisinya, selamat mendarat selepas perlanggaran.

Seaworld Drive, jalan masuk utama ke taman laut, telah ditutup kepada lalu lintas oleh polis tempatan.

Penyiasat dari pejabat ATSB di Brisbane dan Canberra sedang dikerahkan ke tempat kejadian untuk mengumpul bukti, memeriksa serpihan dan menemu bual saksi.

Laporan awal akan didedahkan kepada umum dalam tempoh enam hingga lapan minggu akan datang, dengan laporan akhir akan menyusul sebaik siasatan selesai, tambahnya.

Wilayah Gold Coast kini berada dalam musim pelancongan kemuncaknya pada cuti musim panas. – Agensi