Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa untuk menangguhkan kemasukan pelancong China buat sementara waktu bagi mengelakkan berlakunya kes jangkitan Covid-19 yang pernah berlaku pada tahun 2020.

Gesaan itu dibuat oleh Ketua Armada Bersatu Malaysia Wan Ahmad Fahysal Wan Ahmad Kamal yang berkata, langkah yang diambil oleh Kementerian Kesihatan (KKM) tidak mencukupi bagi menghalang penyebaran Covid-19 daripada pelancong China.

“Pihak Armada menyokong tindakan KKM untuk memperkukuh langkah-langkah dalam berhadapan dengan lonjakan kes Covid ini termasuklah mengasingkan dan menguji penumpang yang bergejala, melakukan pemeriksaan rawak air kumbahan pesawat dan melakukan ujian RTK dan PCR kepada penumpang yang positif.

“Namun pihak Armada yakin bahawa tindakan tersebut tidak mencukupi.

“Kami mahu tindakan pencegahan yang lebih ketat. Pihak kerajaan mesti menghalang kemasukan pelancong dari China buat sementara waktu sehinggalah kes harian di China menurun,” katanya dalam kenyataan.

Gesaan itu katanya, selari dengan kenyataan Presiden Persatuan Pelancongan Malaysia Uzaidi Udanis yang mahu negara mengambil pengajaran daripada gelombang pertama dan kedua Covid-19 yang meranapkan industri pelancongan pada 2020.

Katanya, kesilapan kerajaan pada ketika itu mengakibatkan kematian ribuan rakyat dan kemusnahan ekonomi yang sampai sekarang masih belum pulih.

“Armada mahu kepentingan rakyat diutamakan berbanding hal-hal lain dalam soal ancaman Covid-19 yang terbaru kini,” katanya.

Tambah Wan Ahmad Fahysal banyak media antarabangsa telah melaporkan situasi meruncing yang dihadapi China.

Malah beberapa negara, antaranya Jepun dan Amerika Syarikat mula menyekat kehadiran pelancong China.

“Misalnya, Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida mengarahkan jumlah penerbangan dihadkan kepada 4 buah lapangan terbang utama dengan pelancong dari negara berisiko wajib menunjukkan keputusan sebelum dibenarkan masuk.

“Amerika Syarikat pula sedang dalam proses menyekat kemasukan pelancong dari China atas sebab kesihatan awam. Turki mewajibkan pelancong dari China untuk mengambil ujian COVID-19 sebelum berlepas.

“United Kingdom dan Perancis memantau sampel COVID-19 secara rawak terhadap penumpang yang datang dari negara berisiko,” katanya.

Media tempatan hari ini melaporkan, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, setakat ini Malaysia tidak menyaksikan peningkatan mendadak kes jangkitan Covid-19 di dalam negara serta kes yang memerlukan kemasukan ke hospital.

Namun KKM sentiasa memantau situasi semasa perkembangan kejadian jangkitan di peringkat antarabangsa, khususnya di China.

Dr Zaliha berkata, KKM akan mempertingkatkan kesiapsiagaan dan respons bagi menghadapi sebarang kemungkinan peningkatan kes dan kematian Covid-19 melalui pelaksanaan empat strategi utama.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast