KUALA LUMPUR – Individu yang disahkan positif Covid-19 diingatkan supaya mengaktifkan fungsi notifikasi aplikasi MySejahtera dalam telefon pintar masing-masing.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, langkah itu penting bagi memastikan mekanisme pemantauan kendiri berfungsi dengan baik.
Menurutnya, bagi tahun ini dan ke hadapan, pihaknya akan memantau pesakit Covid-19 yang tidak bergejala, selain bergejala ringan dan perkara itu akan diteruskan seperti biasa.
“Ia termasuk menerusi Pelaporan Home Assesment Tool (HAT) yang pemantauan individu yang tidak bergejala akan menggunakan platform MySejahtera secara keseluruhan serta notifikasi kepada individu yang layak mendapat rawatan ubat antiviral PAXLOVID.
“Selain itu, pemantauan pesakit Covid-19 secara maya akan diteruskan oleh pasukan petugas di CAC dan Fever Centre Klinik Kesihatan masing-masing.
“Manakala, CPRC di peringkat Negeri juga akan terus bertanggungjawab untuk memantau situasi Covid-19 di negeri masing-masing,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, pemberian Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) serta surat pelepasan kuarantin (RO) secara digital juga akan diteruskan seperti biasa melalui aplikasi MySejahtera.
Dalam pada itu beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merakamkan terima kasih atas bantuan diberikan syarikat telekomunikasi negara untuk operasi talian CPRC HOTLINE dan CAC HELPLINE Kebangsaan sejak 2020 hingga 2022.
Ujarnya, ia membabitkan bantuan dari segi bentuk pakej talian telefon, kadar panggilan lebih rendah, kadar SMS yang dikecualikan dan bantuan ejen panggilan tambahan. – MalaysiaGazette