Rakaman seorang pemain bola tampar remaja perempuan yang ditampar oleh jurulatihnya semasa Kejohanan Bola Tampar Remaja Bawah 14 Tahun di Kota Tinggi, Johor baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – ‘Saya terkejut’, itu respons Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berhubung insiden dua remaja perempuan ditampar oleh jurulatih mereka baru-baru ini.

Menurut Nancy, insiden itu tidak dapat dihadam beliau kerana melibatkan dua atlet remaja perempuan.

“Saya terkejut melihat video yang tular semalam. Keganasan terutamanya terhadap wanita dan kanak-kanak perlu dihentikan dengan serta merta,” tegas beliau hari ini.

Kenyataan Nancy itu ekoran penularan video seorang jurulatih bola tampar yang dilihat menampar dua atlet remaja perempuan.

Terdahulu, kecoh di sosial media apabila tular satu rakaman video insiden dalam Kejohanan Bola Tampar Remaja Bawah 14 (B-14) Malaysia 2022 di Johor pada 16 Disember lalu.

Dalam kejadian itu, dua atlet remaja perempuan dilihat ditampar oleh seorang lelaki dipercayai jurulatih mereka dari pasukan Melaka.

Insiden itu berlaku ketika pasukan Melaka ketinggalan di belakang pasukan Johor dengan lima mata.

Kejohanan bola tampar itu diadakan di SJK (C) Pei Hwa, Johor. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast